JANGAN Klik sini:

Thursday, July 26, 2007

Buletin Pc2010! Khas Untuk Anda..

Muka depan ini telah direka oleh Encik Saini Bakar.

notaEDITOR: PC2010! Keluaran ke-2

Hai.. sudah pasti ramai yang tertanya bila agaknya Buletin PC2010! keluaran yang kedua akan diterbitkan. Malah saya sendiri gementar kerana ia sudah tersasar dari masa yang sepatutnya diterbitkan..dan akhirnya pada hari ini anda sedang membacanya..
Bulan yang lalu kita baru saja menyambut perayaan hari guru. Satu sejarah telah tercipta apabila bahagian Betong telah menjadi tuan rumah untuk sambutan peringkat negeri Sarawak untuk pertama kalinya. Buletin PC2010! tidak ketinggalan dalam merakamkan peristiwa tersebut dan diabadikan di dalam keluaran kali ini.
‘Kita hanya merancang tapi Tuhan yang menentukannya’, itulah hakikatnya apabila banyak artikel yang sepatutnya diterbitkan pada keluaran kali ini terpaksa dibawa ke keluaran seterusnya kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Diharapkan pelajar yang menunggu artikel mereka terpaksalah ‘bersabar’ ya...
Anda semua sudah semestinya tertawan hati melihat kulit hadapan Buletin PC2010! yang berwajah baru. Semua ini adalah hasil kreativiti Cikgu Saini Bakar yang sudi membantu Kelab Penerbitan dalam keluaran yang kedua ini. Sebelum ini beliau pernah terlibat di dalam penghasilan buletin semasa di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai Johor. Buletin PC2010! mengucapkan jutaan terima kasih kepada beliau diatas hasil usaha beliau yang begitu cantik sekali.
Kali ini Buletin PC2010! sungguh bertuah apabila ramai rakan-rakan guru sudi berkongsi idea dalam penghasilan Buletin ini. kami bukan saja menerima artikel berupa ilmiah malah cerpen dan catatan yang boleh dikongsi bersama. Ini amat bererti buat kelab penerbitan di dalam menyalurkan segala maklumat dan berkongsi suka duka bersama. Malah pelajar yang menjadi ‘duta kecil’ sekolah juga turut memeriahkan buletin dengan catatan mereka. Kami pasti ramai pelajar lain yang tidak pernah mendengar pengalaman mereka sebelum ini dan secara esklusifnya kami bawakan khas untuk tatapan anda. Sebenarnya kami cuba untuk ‘memburu’ personaliti sekolah terutama dalam bidang sukan namun atas kesibukan mereka maka kami tidak berpeluang mendapatkan pengalaman mereka untuk dikongsi bersama. Mungkin selepas ini kami dapat berjumpa dengan mereka untuk keluran akan datang.
Sekolah kita juga baru-baru ini kehilangan dua orang guru perempuan setelah mereka berpindah pada 1 Jun baru-baru ini. Kita ucapkan selamat tinggal buat Puan Angelia Tan dan Puan Christine dan semoga mereka sentiasa mengingati kita yang masih di Pusa ini. Namun, kita juga telah menerima dua orang guru baru yang telah berpindah ke sini menggantikan tempat mereka. Selamat datang kami ucapkan kepada Cikgu Abu Talib dan Cikgu Abang Amzah Abg. Tar.
Jangan lupa membaca tentang guru-guru baru kesayangan anda. Saya sungguh berasa gembira dan terharu dengan kesanggupan mereka meluangkan masa untuk membantu Buletin PC2010! memeriahkan keluaran kali ini. Terima kasih kepada Cikgu Hasmaniza, Cikgu Dayang Suhailawati, Cikgu Zuraidah, Cikgu Fairus dan Cikgu Mohd. Norfaizan.
Tahun 2007 merupakan tahun yang sangat istimewa kerana ramai guru SMK Pusa yang menimang cahayamata, jangan lupa membaca tentang ‘Tangisan Pertama’. Lebih ramai lagi guru yang bakal bergelar Ibu dan Bapa tahun ini...
Buletin PC2010! juga telah mengadakan pelbagai pertandingan khas buat para pembaca Buletin PC2010! yang telah mendapat sambutan yang menggalakkan sehinggakan susah untuk mencari pemenang pertandingan tersebut. Jangan lupa untuk melihat dihalaman kedua terakhir..mana tahu anda salah seorang pemenangnya.
Dalam kita mengejar masa dengan kelas setiap hari, tugasan di asrama mahupun dirumah janganlah kita terlupa tanggungjawab kita sebagai pelajar. Bagi yang menduduki PMR dan SPM tahun ini, adakah anda telah bersedia? Sekarang sudahpun bulan Jun, bermakna sudah separuh penggal berlalu.. maka janganlah goyang kaki dan menekan butang handphone setiap hari.. ia sudah semestinya tidak membantu anda sebaliknya anda akan terus terleka.. Lakukan ulangkaji dan jangan segan bertanya kepada guru matapelajaran anda jika kurang faham. Bagi yang tidak menduduki peperiksaan pula bukan bererti anda ‘dibolehkan’ untuk bermain atau ‘honeymoon’.. anda juga harus belajar dan mengulangkaji pelajaran.
Sebelum mengundur diri, saya berharap anda terhibur dengan Buletin PC2010! keluaran kali ini dan sekiranya anda mempunyai idea, bahan dan maklumat yang ingin dikongsi bersama, janganlah segan menghantar kepada Kelab Penerbitan untuk diterbitkan. Anda mungkin tidak menyedari setiap pengalaman anda mungkin memberi sinar harapan kepada insan lain. Akhir kata, semoga setiap pembaca Buletin PC2010! Akan sentiasa memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kerana Buletin ini adalah kepunyaan anda!

Editor,
Cikgu BiO
TERRY BABA

E-mail: qkx7254@hotmail.com
http://smkpusa.blogspot.com/

NATIONAL SCIENCE CHALLENGE 2007 “The Prime Minister’s Challenge Trophy”

Oleh: Lim Hua Choo (5A)

BETONG 7 Mei - Kuiz sains atau ‘National Science Challenge 2007’ telah berlangsung di PKG Betong.
Kuiz ini yang dianjurkan oleh Akademi Sains Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia telah dijalankan serentak di seluruh Malaysia untuk mencari pemenang yang akan menyertainya ke pusingan seterusnya. Kuiz ini mempunyai 3 peringkat iaitu peringkat Bahagian, Negeri dan Kebangsaan. Pada peringkat awal, para peserta akan diuji secara bertulis dimana mereka dikehendaki untuk menjalani ujian yang merangkumi subjek Matematik Tambahan, Biologi, Kimia dan Fizik. Kuiz bertulis ini akan disoal dalam Bahasa Inggeris dan perlu dijawab dalam masa sejam.
Sekolah kita telah menghantar Awg Abd Rahman b. Awg Abd Drazak, Lim Hua Choo dan Norlia Binti Isha. Kuiz ini sebenarnya sudah tiga kali ditunda atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Manakala hanya 3 buah sekolah sahaja yang menghantar peserta iaitu SMK (BM) Saratok, SMK Agama Sri Aman, Saratok dan SMK Pusa.
Hanya sekolah yang mendapat markah tertinggi akan layak ke pusingan seterusnya sekali gus mewakili negeri masing-masing ke peringkat kebangsaan.

SUNTIKAN ATT (ANTI TETANUS TOXOID) UNTUK PELAJAR TINGKATAN TIGA.








Oleh: Ahmad Nazri bin Tuah (3E)

Suntikan ATT atau nama penuhnya dikenali sebagai ‘Anti Tetanus Toxoid’ merupakan suntikan wajib untuk semua pelajar tingkatan 3. Suntikan ATT ini diberikan bertujuan adalah untuk menggelakkan mendapat penyakit ‘Kancing Gigi’ yang disebabkan oleh virus.
Seramai 4 orang kakitangan dari Klinik Pusa telah datang ke SMK Pusa pada 24-25 April yang lalu untuk memberikan suntikan imunisasi ini. Selain suntikan ATT pelajar juga diberikan pemeriksaan kesihatan dan juga mata.
Ramai pelajar yang berkobar-kobar dan tidak ketinggalan ada juga yang ketakutan. Namun tiada siapa yang pengsan ataupun menangis semasa suntikan diberikan. Walaubagaimanapun, ramai juga ‘hampir-hampir’ mendermakan cairan mata mereka.
Tatapilah wajah-wajah mereka yang sedang menunggu giliran masing-masing. Entah apa yang mereka fikirkan ketika itu...

PERTANDINGAN NASYID DI SK ABANG ABDUL KADIR, BETONG.


BETONG 12 April- Majlis Tadarus Al-Quran Sekolah-Sekolah Rendah dan Menengah peringkat Betong telah berlangsung di SK Abg Abd Kadir, Betong.
SMK Pusa telah menghantar seramai 9 orang untuk pertandingan nasyid. Mereka diketuai oleh Mohd Suffian bin Abu Kassim. Ahli-ahlinya yang lain ialah Abg Farid Ariff bin Abg Ramli, Mohd Farhan bin Janes, Abd Aiziq Bolhi, Abg Shahril bin Abg Mula, Zulfazir bin Ani, Khairul Azlan bin Jamali, Mohd Zakaria bin Yusuf dan Mohd Ismawi bin Daud. Kumpulan mereka ini telah diiringi oleh Ustaz Zulkifli dan Ustaz Fairuz.
Kumpulan mereka telah diberi nama Al-Imtiaz. ‘Taman Keimanan’ dan ‘Insan Cemerlang’ ialah tajuk lagu yang diperdendangkan oleh mereka. Antara sekolah yang turut mengambil bahagian ialah SMK Kabong, SMK Dato Patinggi Kedit, SMK Agama Sri Aman Saratok, SM Teknik Betong, SMK Saribas, SMK Spaoh dan SMK Beladin.
Dalam pertandingan ini, SMK Kabong telah menjadi Johan, SMK Dato Patinggi Kedit Naib Johan dan tempat ketiga telah disandang oleh SMK Agama Sri Aman Saratok. Walaupun sekolah kita tidak mendapt tempat yang agak baik, tetapi jangan berputus asa. Lain kali cuba lagi.

PERTANDINGAN FORUM BERTEMAKAN KEMERDEKAAN DI SMK KABONG, SARATOK.






Oleh: NorashiQin Zamhari (5A)
Pada 25 April 2007 yang lalu, telah berlangsungnya pertandingan Forum Remaja yang bertempat di Dewan Sri Tanjung Kabong. Pertandingan tersebut telah diwakili oleh pelajar dari SMK Kabong, SMK Pusa, SMK Saratok, SMK Kalaka, SMK Agama Sri Aman Saratok, SMK Dato Patinggi Kedit, SMK (BM) Saratok, SMK Spaoh, SMK St. Augustine dan SM Teknik Betong.
Pelajar yang mewakili SMK Pusa ialah Mohd. Azmil Hj. Pian selaku Pengerusi Forum, Abdul Syukor Yusop selaku panel pertama, Nor Baizura Enten selaku panel kedua, Siti Rahimas Kedit selaku panel ketiga dan Sharbini Spawi sebagai wakil simpanan. Tajuk forum mereka ialah ‘50 Tahun Kemerdekaan Negara’. Pertandingan tersebut bermula pada jam 8 pagi. Mereka telah diiringi oleh Cikgu Bohri Saili yang juga jurulatih yang telah memberi tunjuk ajar kepada mereka sebelum pertandingan itu diadakan. Antara perkara yang dititikberatkan dalam pertandingan ini adalah penghafalan teks, adab dan displin ketika berada di atas pentas, keberkesanan persembahan (persembahan yang mampu menarik perhatian penonton) dan bahasa yang digunakan.
Dalam pertandingan tersebut, SMK Saratok telah menjadi Johan, SMK Spaoh mendapat tempat kedua dan tempat ketiga disandang oleh SMK Agama Sri Aman Saratok. Tahniah diucapkan....

MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH PELAJAR CEMERLANG YAYASAN SARAWAK.

Oleh: Nurul Izni Kamilah bt Hj. Ossen.

BETONG, Rabu-Majlis Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang Yayasan Sarawak 2007 telah berlangsung di Dewan Panglima Rentap, Betong. Majlis ini berlangsung pada 18 April 2007. majlis ini dirasmikan oleh YB Datuk Patinggi Tan Sri Dr.Alfred Jabu anak Numpang iaitu Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sarawak. Majlis ini berlangsung kira-kira pada pukul 10.00 pagi. Upacara pembukaan dimulakan dengan bacaan doa.
Selepas itu, upacara perasmian dimulakan oleh YB. Dalam upacara perasmian, beliau berharap pada masa akan datang, banyak lagi pelajar yang mendpat keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM. Seorang pelajar SMK Pusa telah menerima Hadiah Pelajar Cemerlang bagi kategori PMR. Pelajar tersebut adalah Nurul Izni kamilah binti Haji Ossen.
Selepas ucapan perasmian, upacara penyampaian hadiah pun dimulakan . Selapas itu, sesi bergambar dimulakan. Semua pelajar berasa gembira kerana mendapat hadiah daripada Yayasan Sarawak.

SMK BELADIN TUAN RUMAH PERTANDINGAN CATUR.

Oleh: Gerald Grino ak Apil.

BELADIN, 13 April - Sekolah kita telah menghantar wakil untuk pertandingan catur peringkat bahagian yang diadakan di SMK Beladin. Sekolah kita telah menghantar Gerald, M.Tamizi dan Chiew Su Yang Untuk mewakili sekolah dalam kategori lelaki 16 tahun. Ini merupakan kali pertama sekolah kita menghantar wakil untuk pertandingan ini dan ia merupakan pengalaman yang baru untuk wakil sekolah kita.
Dengan diiringi Cikgu Saini Bakar, peserta tiba di SMK Beladin pada pukul 8 pagi dan terus mendaftarkan diri. Sebanyak 7 sekolah yang menyertai pertandingan tersebut dan sebanyak 6 kategori dipertandingkan iaitu Berkumpulan lelaki, berkumpulan perempuan, lelaki 16 tahun keatas, perempuan 18 tahun keatas, lelaki 15 tahun ke bawah dan wanita 15 tahun kebawah. Masa yang diperuntukkan untuk setiap set adalah 30 minit dan pertandingan itu berlangsung sehingga petang. Semua peserta handal-handal belaka dan ini merupakan pengalaman yang menarik untuk para peserta. Setelah tamat permainan, acara penyampaian hadiah kepada para pemenang disampaikan.
Walaupun sekolah kita pulang dengan tangan kosong tetapi tidak mengapa kerana ia merupakan pengalaman yang baru untuk kita dan kita boleh menghantar wakil yang baru untuk menyertai pertandingan ini pada tahun depan.

PROGRAM MOTIVASI TINGKATAN TIGA

SMK Pusa, 18 April - Semua pelajar Tingkatan Tiga SMK Pusa telah menyertai Program Motivasi yang dikhaskan untuk mereka. Program ini antara lain bertujuan untuk meningkatkan perasaan ingin belajar dan membuang sikap negatif dalam diri pelajar agar dapat memperoleh keputusan yang cemerlang dalam PMR 2007.
Program motivasi ini sememangnya satu usaha yang murni memandangkan ramai pelajar yang bakal menduduki peperiksaan PMR belum lagi bersedia sepenuhnya. Dengan adanya program seperti ini maka akan lebih ramai lagi para pelajar menyedari tujuan dan matlamat mereka untuk datang ke sekolah.
Sepanjang program ini dijalankan pelajar sememangnya melibatkan diri mereka sepenuhnya dan ramai diantara mereka melahirkan perasaan gembira dan berkobar-kobar setelah selesai program motivasi ini. Diharapkan keputusan PMR akan lebih baik tahun ini.

Keajaiban Gerak Tari Zapin membawa Tuah.









Oleh: Suraiti Shukeran.

PUSA, 25 April – Sekolah Menengah Kebangsaan Pusa telah menjadi tuan rumah dalam Majlis ‘Tarian Rampai Kreatif Ala Malaysia’ Peringkat Bahagian Betong. Majlis ini telah diadakan di Dewan Serbaguna SMK Pusa.
Sebanyak 8 buah sekolah menengah di Bahagian Betong telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Antaranya adalah SMK Saratok, SMK Spaoh, SMK Kabong, SMK (BM) Saratok, SMK Kalaka, Roban, SM Teknik Betong, SMK St. Augustine, Betong dan SMK Pusa.
Pertandingan yang bermula jam 7.00 malam dan berakhir sekitar jam 11.00 malam ini telah menyaksikan persembahan yang penuh bertenaga daripada semua sekolah yang menyertainya.
Para hakim jemputan untuk mengadili pertandingan tersebut adalah terdiri daripada KPSU Sri Aman dan seorang wakil daripada PPG Betong. Mereka adalah Cik Sandra Ak Liseh, En. Abg. Ajibi Abg. Moshidi dan En. Linson Ak Apoi yang mewakili KPSU Sri Aman manakala cik Hajah Aiwan @ Noraini binti Alli, Ketua Unit Pengurusan Sekolah PPG Betong.
Pasukan SMK Pusa terdiri daripada En. Rusnizam bin Salleh selaku Pengurus Pasukan, En. Fairus bin Mohd. Kamil, En. Zulkipli bin Jali, En. Saini bin Bakar dan Cik Zuraidah binti Ibrahim selaku jurulatih pasukan.
Penari-penari SMK Pusa pula terdiri daripada Widyawati binti Razali, Dayang Mujammilia binti Abang Julaihi, Nur Atikah bt Affindi, Rohani bt Ramlee, Hasan bin Jemat, Cendra bt Nasir, Jamilah bt Jailani, Mohhamad Shahrizat bin Rasani, Effa Rehah bt Murat, Musira binti Rosli, Hasmah bt Ahmad dan Umi Kalthum bt Yahya.
SMK Saratok yang telah menjadi pasukan kegemaran ramai seperti mana yang diramalkan telah dinobatkan sebagai Johan setelah persembahan mereka pada malam itu menambat hati juri. Kesungguhan dan penat lelah pasukan SMK Pusa akhirnya berbaloi apabila telah mendapat Naib Johan. Ternyata keajaiban gerak tari zapin membawa tuah. Manakala tempat ketiga pula disandang oleh SMK St. Augustine Betong.
Majlis pertandingan tarian telah ditutup secara rasminya oleh Pegawai Pelajaran Gabungan Betong yang mana telah melahirkan rasa bangga dan gembiranya kerana SMK Pusa telah berjaya dalam penganjuran majlis tersebut. Beliau turut memuji hiasan pentas yang cantik serta kesungguhan para peserta yang menunjukkan semangat juang yang tinggi.
Walaupun majlis pada malam itu terganggu sedikit apabila ‘PA System’ meragam, namun ia sedikit pun tidak mencacatkan majlis pada malam itu.
Pasukan SMK Saratok akan mewakili Bahagian Betong ke peringkat Bahagian yang akan berlangsung di Mukah pada 25 Mei ini. Tahniah diucapkan kepada semua yang berjaya dan bagi yang tidak berjaya jangan putus asa.

PERAYAAN HARI GURU PERINGKAT NEGERI SARAWAK DI BETONG.









OLEH: En. Rusnizam Salleh.
Perasmian Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak 2007 telah diadakan di Dewan Penglima Rentap, Betong pada 24 Mei 2007 oleh Datuk Patinggi Dr. Alfred Jabu ak Numpang, Timbalan Ketua Menteri Sarawak. Majlis ini telah bermula pada pukul 2.30 petang dan berakhir kira-kira pukul 5.30 petang.
Tema hari guru pada tahun ini ialah ‘GURU PENJANA MODAL INSAN GEMILANG’. Majlis sambutan hari guru ini telah dihadiri oleh semua warga pendidik dari seluruh negeri Sarawak. Majlis gilang gemilang ini dimulakan sebaik sahaja ketibaan Tan Sri Datuk Patinggi Dr Alfred Jabu ak Numpang, Timbalan Ketua Menteri Sarawak.
Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Yang Berbahagia Cik Rabiah Binti Johari, Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak, Yang Berbahagia Dr Julaihi Bin Hj Bujang, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak, Yang Berusaha Pegawai Pelajaran Gabungan Bahagian Betong, Tn Hj. Mohd Syariff Affendy Bin Hj Matjeraie, En. Romi Sigan Daniel, Residen Bahagian Betong, Ketua-ketua Jabatan, Pengetua-pengetua, Guru Besar- Guru Besar dari Bahagian Betong dan seluruh Negeri Sarawak.
Sempena meraikan guru-guru seluruh Negeri Sarawak, majlis telah dimulakan dengan memberi penghormatan kepada lagu kebangsaan iaitu lagu ‘Negaraku’, diikuti dengan bacaan Doa, deklamasi puisi, persembahan koir, tayangan multimedia hari guru, ikrar dan diakhiri dengan penyampaian anugerah dua orang tokoh guru iaitu Haji Mohd. Rambli Bin Hj Omar dari Kampung Sessang, Kabong dan Temenggong Haji Abdul Ghani Bin Suhaili dari kampung Paloh Sarikei. Pada majlis ini SMK Pusa telah diberikan penghormatan dan kepercayaan untuk mengarak tokoh guru ke atas pentas untuk menerima pingat.
Sebagai warga SMK Pusa kita turut berasa berbesar hati di atas pencapaian mereka ini dan semoga menjadi perangsang kepada kita untuk mencontohi mereka. Tahniah diucapkan di atas kejayaan mereka.

KADET POLIS DI SEKOLAH KEBANGSAAN PENOM.









Oleh: Saifulku Nizam Peruama. (5E)
16 April 2007, kadet Polis SMK Pusa telah menyertai satu perkhemahan di SK Penom, Saban. Perkhemahan ini dinamakan ‘Perkhemahan Kadet Polis Bahagian Betong 2007’. Ahli kadet polis terdiri daripada pelajar tingkatan 4 dan tingkatan 5, dengan ahlinya seramai 20 orang dan diikuti dengan 3 orang guru penasihat iaitu Puan Nurul Aini, Puan Zoriah dan En. Azhar.
Di hari yang sungguh ceria ini kira-kira pukul 6.00 pagi, ahli-ahli kadet polis dikehendaki berkumpul di tempat letak basikal untuk memastikan setiap ahli kadet polis sudah sampai di sekolah. Ketika itu juga, masing-masing sibuk mengemaskan pakaian seragam sendiri. Ada diantara mereka tidak mempunyai berry, lencana polis dan lain-lain lagi. Mereka pagi itu terpaksa berjumpa dengan Puan Zoriah dan Puan Nurul Aini untuk meminjam peralatan tersebut. Kemudian, Puan Nurul dan Puan Zoriah turun ke padang untuk memastikan semua ahli kadet sudah bersedia.
Pada pagi itu juga, kami diarahkan membuat barisan dan mendengar ceramah pagi daripada Puan Nurul Aini. Setelah itu kami memohon izin pada Puan Nurul untuk ke kantin sebentar. Ketika di kantin, saya dapati trak polis telah pun sampai. Ahli kadet yang lain telah lama meninggalkan kantin tersebut kecuali saya dan Zakwan. Selesai saja Zakwan berurusan di kantin tersebut, kami berdua gegas berlari ke arah tempat letak basikal, tanpa disedari ‘Lencana polis’’ pada berry Zakwan telah terjatuh dan hilang entah ke mana. Dia mula merasa gelisah akan kehilangan lencana polis tersebut.
Walaubagaimanapun, ianya tidak mematahkan semangat Zakwan untuk terus pergi ke perkhemahan tersebut.
Ketika dalam perjalanan ke SK Penom, saya dapati macam-macam gelagat dan karenah yang dibuat oleh ahli kadet ini, ada yang menyanyi, berteriak, merapu dan pelbagai lagi. Setibanya di simpang Pusa, saya mula berasa mual dan pening kepala. Saya merebahkan badan di atas beg yang telah dilonggokkan di dalam trak tersebut untuk melegakan kepala saya. Dalam masa itu juga, saya dapati beberapa orang ahli kadet yang lain mula mengikuti jejak saya. Mereka mula merasa mual dan muntah-muntah.
Setibanya di SK Penom, kami diarahkan untuk menurunkan peralatan-peralatan yang kami bawa tadi untuk diletakkan di padang sekolah. Di sana, saya dapati dua buah sekolah telah sampai terlebih dahulu iaitu sekolah St. Augustine dan SMK Spaoh. Sekolah saya ialah sekolah yang ketiga tiba di SK Penom. Lama juga kami menunggu ketibaan sekolah-sekolah yang lain, akhirnya satu demi satu sekolah yang lain tiba.
Sebanyak enam buah sekolah telah menyertai perkhemahan ini, diantaranya ialah SMK Pusa, SMK Ulu Layar, SMK DP Kedit, St. Augustine, SMK Spaoh dan SM Teknik Betong. Setelah semua sekolah telah sampai, salah seorang anggota polis mengarahkan setiap sekolah hendaklah menghantar 4 orang wakil. Ini bertujuan untuk memasang kanopi. Kanopi tersebut untuk setiap platun berteduh daripada hujan, panas, untuk perbincangan dan lain-lain lagi. Setelah selesai memasang kanopi, kami diberi 2 buah khemah untuk dipasangkan. Satu khemah berkongsi untuk 5 orang. Saya berkongsi khemah dengan Zakwan, Faizul, Tarmizi dan Masnor.
Setelah selesai mengatur khemah tadi, kami masuk baris semula kerana kami akan dipecahkan kepada 4 platun. Setiap platun ada 5 orang dari sekolah yang berbeza. Disini, saya, Masnor, Tarmizi dan Faizul diletakkan dalam platun satu. Selesai saja pembahagian itu, kami menjalankan aktiviti yang pertama iaitu aktiviti “Ice Breaking’’.
Disini kami bersuai kenal antara satu sama lain. Bermula daripada ‘ice breaking’ ini saya telah mendapat kawan-kawan yang sangat baik. Mereka bukan saja setakat baik tetapi peramah. Diantaranya ialah Billy, Linggir, Nyawai, Melvin dan lain-lain lagi. Setelah ‘ice breaking’ ini selesai kami diberi jamuan minum petang. Sesudah itu kami pergi mandi. Di sebelah malamnya pula, kami mendengar ‘Ceramah undang-undang dan Akta-Akta kesalahan’ dalam polis. Hampir dua jam kami mendengar ceramah tersebut, kami telah dihidangkan dengan makan malam. Sebelum kami makan kami ada tugasan lain iaitu ‘senttri’, iaitu jaga malam.
Senttri ada 6 pertukaran bermula pukul 6.00 petang sampai ke 8.00 malam, pukul 8.00 malam sampai 10.00 malam , 10.00 malam sampai 12.00 tengah malam, 12.00 tengah malam sampai 2.00 pagi, 2.00 pagi sampai 4.00 pagi dan yang terakhir sekali ialah 4.00 pagi sampai pukul 6.00 pagi. Pada malam itu saya senttri pukul 8.00 sampai pukul 10.00 malam. Jadi selepas minum saya terus bertugas sehinggalah tukar ‘shift’.
Di keesokan harinya pula, 17 April 2007 hari yang kedua, sebelah paginya kami ada senaman pagi. Waktu itu majoritinya semua pelajar belum mandi lagi. Pada pukul 8.00 pagi kami minum dan sarapan pagi. Setelah selesai sarapan pagi kami membuat aktiviti yang kedua iaitu ‘jungle tracking’.
Setibanya kami di garisan penamat saya dapati dua buah platun lagi yang belum menjalani aktiviti tersebut. Kami terpaksa menunggu kesemua platun melakukannya. Agak lama juga kami menunggu akhirnya barulah ia tamat. Setelah itu kami diberi makanan agar tidak kelaparan akibat keletihan. Kami berehat pada pukul 12 tengahari. Ketika ada masa rehat sebegini, saya mengambil kesempatan untuk berborak dengan kawan baru saya iaitu Billy, Linggir dan Nyawai. Khemah mereka berdekatan dengan khemah kami.
Di sebelah petangnya pula kami ada aktiviti yang ketiga iaitu ‘pertandingan membuka dan memasang senjata M16’. Setiap platun diwakili sepuluh orang ahli, lima lelaki dan lima perempuan. Aktiviti ini tamat pada pukul enam petang.
Disebelah malamnya pula kami hanya membincangkan tentang ‘Malam kebudayaan’ untuk malam esok. Tambahan pula malam itu hujan renyai-renyai. Seperti biasa sebelum kami bersurai kami akan diagihkan tugas malam. Syukur alhamdulillah malam itu saya tidak bertugas.
18 April 2007, iaitu di hari yang ketiga. Di pagi hari kami akan menjalankan aktiviti ‘Malaysia Cergas’. Semasa ‘Malaysia cergas’ saya dan kawan saya iaitu Melvin bukannya berlari tetapi lebih banyak berjalan. Jarak diantara setiap platun ialah 5 minit. Kami hanya akan berlari sekiranya ada sesiapa yang memotong. Jarak larian ‘Malaysia Cergas’ itu ialah empat kilometer. Aktiviti ini tamat pada pukul 10 pagi. Sebelum kami bersurai kami makan lagi. Disana kami hanya makan minum, makan minum, itulah rutin harian kami.
Pada hari yang ketiga ini kami agak awal berehat. Sebelah petangnya pula kami ada aktiviti ‘pertandingan kawad kaki’. Sebelum kami menjalankan aktiviti ini, kami telah diberi satu kemeja-T setiap seorang untuk dipakai semasa pertandingan kawad kaki nanti. Pada pukul 2 petang kami hanya membuat latihan kawad kaki. Lama juga kami berlatih. Kami diberi rehat sebentar dan diberi minum pada petang itu. Pukul empat pula pertandingan kawad kaki bermula. Platun saya yang ketiga membuat persembahan. Pada pukul enam petang pula, pertandingan ini selesai. Kami diberi makanan lagi sebelum bersurai, bak kata orang kami disana bukan mati tak makan tapi mati kerana makan.
Disebelah malamnya pula, kami membuat persediaan dengan aktiviti ‘Malam Kebudayaan’. Di malam kebudayaan pelbagai persembahan di bawa oleh setiap platun. Platun kami mempersembahkan ‘kawad senyap’. Aktiviti ini tamat pada pukul 10 malam. Tetapi tidak semestinya terus bersurai, kerana pada malam itu kami dihiburkan persembahan karaoke. Guru telah menghiburkan para ahli kadet pula. Selain itu juga, para ahli kadet tidak ketinggalan untuk membuat persembahan. Karaoke ini tamat pada pukul 12.30 tengah malam.
Selesai saja karaoke ini tamat, semua ahli kadet pulang ke kem masing-masing. Ada sesetengah pelajar belum balik lagi termasuklah saya. Pada malam itu saya bertugas jaga malam. Saya bertugas dari pukul 4 pagi. Ketika itu jam masih menunjukkan pukul satu pagi. Ahli kadet yang lain masih juga belum tidur kerana malam itu adalah malam yang terakhir bagi kami semua. Saya pula masih berborak dengan kawan saya iaitu Billy. Malam itu dia bertugas pukul 12 tengah malam sampai pukul 2 pagi. Jadi saya temankan dia sambil-sambil berborak kosong.
Keesokan harinya pula, 19 April 2007 iaitu hari yang terakhir. Paginya kami bersarapan pagi, setelah kami bersarapan, kami telah membuat satu tarian iaitu tarian ‘Pocho-pocho’. Selesai kami berpocho-pocho, kami ada raptai untuk penyampaian hadiah dan sijil. Hampir-hampir dua jam kami berlatih sehinggakan kawan saya dari SMK Spaoh yang bernama June menangis semasa berkawad. Setelah itu, kami berehat sebentar kerana cuaca tidak mengizinkan. Hujan turun dengan lebatnya pada pagi itu.
Disebelah petang pula berlangsung majlis penyampaian sijil dan hadiah. Penyampaian sijil dan hadiah ini berlangsung kira-kira dua jam lebih. Di akhir ceramah itu, kem komanden telah memilih 20 orang ahli kadet yang lasak ke peringkat seterusnya. Sepuluh lelaki dan sepuluh perempuan. Majoritinya mereka daripada tingkatan empat. Diantara 20 orang itu, 4 ahli kadet SMK Pusa iaitu Mohd. Tamizi, Dayang Juliza, Assaari dan Falinawati telah terpilih. Selepas tamat kami mengambil gambar untuk dijadikan kenangan. Sesudah itu kami boleh balik ke tempat masing-masing. Malangnya sekolah kami terpaksa balik awal dan terpaksa bergegas untuk mengemas barang. Ini kerana pemandu trak polis itu hendak cepat balik kerana ada urusan lain. Semua barang sudah dimasukkan ke dalam trak kecuali ahli-ahlinya lagi. Di hari yang terakhir ini, saya hanya sempat sampaikan salam saya pada Billy, Linggir dan Nyawai. Yang lain-lainnya saya tidak sempat untuk minta maaf jikalau ada terlanjur kata, terkasar bahasa sepanjang perkhemahan itu.
Diharapkan agar anda semua turut merasai pengalaman saya sepanjang perkhemahan itu. Semoga kita berjumpa lagi.

‘SAINTIS JADIAN’ DI MINGGU SAINS DAN MATEMATIK.
















Persatuan Sains dan Matematik telah berjaya menganjurkan minggu sains yang julung kalinya diadakan di SMK Pusa. Bermula pada 16 April sehingga 20 April telah berjaya menarik hampir keseluruh warga SMK Pusa untuk turut serta dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan.
Bukan sahaja pameran sains yang mengujakan para pelajar malah mereka juga turut serta dalam kuiz dan pertandingan-pertandingan seperti rekacipta, meneka gula-gula dan pelbagai lagi.
Apa yang lebih membanggakan lagi adalah apabila para pelajar menunjukkan sikap dan perasaan ingin tahu yang tinggi. Kebanyakkan aktiviti itu telah dijayakan sendiri oleh para pelajar dan dibantu oleh guru.
Sepanjang minggu sains ini dijalankan para pelajar sanggup meluangkan banyak masa untuk memastikan agar segala aktiviti ini dapat dijalankan dengan lancar. Sokongan pelbagai pihak dalam menjayakan minggu sains ini sangat-sangat dihargai. Semoga pada tahun-tahun yang akan datang minggu sains dan matematik akan menjadi acara tahunan yang dapat memberi ruang untuk para pelajar menyerlahkan bakat serta minat mereka terhadap sains.