JANGAN Klik sini:

Tuesday, April 24, 2007

Semua pelajar SMK Pusa dialu-alukan menyertai Pertandingan merekacipta kad Ucapan sempena Perayaan Hari Guru 2007.

PENGUMUMAN PENTING.
Bersempenaan perayaan Hari Guru pada 16 Mei 2007, semua pelajar dialu-alukan untuk menyertai pertandingan merekacipta Kad Hari Guru. Anda bebas menggunakan apa saja bahan samada bahan terbuang seperti kotak, suratkhabar, majalah, tumbuhan, tin aluminium, bungkusan makanan malah cebisan kain sekali pun asalkan kad anda menarik, kreatif dan cantik.
Anda perlu mendapatkan borang penyertaan daripada Kelab Penerbitan mulai 25 April 2007 dan tarikh tutup penyertaan adalah: 4 Mei 2007. Bayaran sebanyak RM0.20 akan dikenakan bagi setiap penyertaan. Anda boleh menghantar penyertaan sebanyak yang anda mahu.
Hadiah menarik menanti anda, untuk keterangan lanjut sila lihat notis yang akan kami lekatkan dalam waktu terdekat ini. Pastikan anda menyertainya.. Manalah tahu anda mungkin peserta bertuah itu.

Catatan seorang guru: Pendidikan adalah kebebasan.

(Sekadar gambar hiasan. Mohd. Izuan sedang menguji bahan kimia semasa pameran sains dan matematik yang diadakan di SMK Pusa.)

Kisah ini telah berkali-kali saya ceritakan kepada rakan-rakan, keluarga malah sesiapa saja yang saya temui. Ada sesuatu yang boleh kita kongsikan bersama dan saya percaya jika kita mempunyai naluri serta akal fikiran yang waras sudah tentu kita akan dapat memahaminya.
Tahun 2006 yang lalu, masa itu saya baru masuk tahun ketiga berkhidmat di SMK Pusa. Apalah sangat pengalaman yang ada, namun sesuatu telah berlaku dan ia begitu memberi satu pengalaman yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
AJK Biasiswa dipanggil untuk bermesyuarat kerana kami ditugaskan untuk mencari pelajar tercicir. Pelajar tercicir ini bakal diberikan bantuan kewangan dalam bentuk bantuan yang dipanggil KWAMP. Di sini masalah pelajar tercicir agak ketara dan kebanyakkan pelajar yang tercicir dikhuatiri disebabkan oleh masalah kewangan.
Pada mulanya saya berasa resah apabila ditugaskan untuk mencari pelajar di Kampung Tambak, Kampung Dato’ Godam, Kampung Kalok dan Kampung Hilir serta Kampung Hulu Pusa. Semenjak saya datang ke sini boleh dibilang dengan jari saya memasuki kampung tersebut. Malah kalau diikutkan, boleh dikatakan saya kurang mahir selok belok kampung tersebut. Bermacam-macam yang saya fikirkan. Dahlah saya langsung tidak mengenali pelajar tersebut, mencari alamat mereka pun saya tak tahu. Kami cuma diberi tempoh lebih kurang seminggu untuk mencari mereka.
Dalam kegelisahan itu, saya minta bantuan dua orang pelajar saya untuk mengesan pelajar tersebut. Sebelum bertolak ke kampung tersebut, saya minta beberapa orang pelajar yang sekampung dengan pelajar tercicir tadi untuk memberitahu saya nama panggilan pelajar tersebut di kampung. Hati saya masih lagi berdebar-debar memikirkan apakah reaksi ibu bapa pelajar tersebut dengan kehadiran saya nanti dan satu perasaan yang sukar saya kikisan adalah perasaan malu.
Pada hari yang telah saya janjikan maka saya bersama Fairol Hamid dan Noor Nasriq Sahari menuju ke Kampung Hulu dan Kampung Hilir Pusa. Saya bernasib baik kerana Noor Nasriq merupakan penduduk kampung di situ tetapi dia juga kurang mengenali pelajar yang bakal kami cari. Namun itu tidak menjadi penghalang untuk kami mencari. Perjalanan menuju ke kampung itu memerlukan kami menaiki perahu tambang. Gementar juga apabila menaiki sampan itu. Terfikir juga dalam hatiku bagaimanalah pelajar-pelajar yang setiap hari menggunakannya. Dikejauhan kehadiran kami disapa mesra oleh layang-layang putih yang terbang megah ditengah-tengah sungai. Pemiliknya sudah tentu sedang berada ditepi sungai, menerbangkan dengan megah layang-layang tersebut. Akhirnya kami sampai di jeti kecil dan meneruskan misi mencari pelajar tersebut.
Berpeluh kami mencari rumah pelajar tersebut, kadang-kala nama panggilan tersebut melibatkan lebih daripada dua orang. Apabila kami sebut nama penuh pula, ramai yang tidak kenal. Mahu tak mahu kami pergi satu persatu rumah budak tersebut. Tetapi rata-rata penduduk kampung sudi menghulurkan bantuan.
Kami hampir berputus asa apabila pelajar tercicir ada yang berpindah mengikut keluarga mereka ke tempat lain, ada yang membantu keluarga di laut menangkap ikan, ada yang menolong bapa di hutan sebagai pembalak dan apa yang lebih menyedihkan ada yang tinggal di kampung tetapi dia sendiri tidak mahu bersekolah. Apabila saya masuk ke dalam rumah mereka, saya sempat menjeling persekitaran rumah, ternyata ada yang tidak mempunyai masalah kewangan cuma anak mereka yang tidak mahu bersekolah. Salah seorang pelajar tercicir itu memang tidak mahu bersekolah. Ibunya sungguh mengharapkan agar anaknya bersekolah tetapi anaknya berkeras tidak mahu. Saya berkeras ingin bertemu sendiri anaknya, rupa-rupanya pemilik layang-layang putih itu tadi adalah anak dia. Kanak-kanak itu langsung tidak mahu berjumpa dengan kami pada awalnya, namun setelah di desak akhirnya di mengalah. Dia cuma mengangguk tanda setuju mungkin untuk mempercepatkan keadaan. Apabila saya katakan dia harus hadir esok dia tidak memandang wajah saya sebaliknya terus mendapatkan layang-layangnya semula.
Kisah yang satu ini tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Hati mana yang sanggup melihat ibu bapa yang mengharapkan anaknya untuk bersekolah seperti orang lain, lantas disebabkan kesempitan hidup anaknya tidak mampu dihantar kesekolah.
Semasa saya datang kerumahnya, hanya anak perempuan dan bapanya yang sakit saja di rumah. Anak perempuannya yang kami cari sedang berada di dalam dapur. Ibunya pula yang bekerja mengutip tin-tin kosong, botol plastik dan besi buruk belum lagi pulang. Bapanya menerangkan bahawa mereka tidak mampu untuk menyekolahkan anaknya disebabkan kesempitan hidup dan dia pula sakit. Apabila saya tujukan soalan adakah dia ingin bersekolah, kanak-kanak itu mengangguk namun wajahnya terpancar kerisauan yang sukar difahami.
Semasa kami sedang dalam proses mengisi borang, ibunya baru balik. Tangannya penuh dengan botol plastik dan tin aluminium. Wajahnya ceria walaupun kepenatan dan mungkin kehadiran kami telah diberitahu oleh jiran-jiran yang lain, membuatkan ibunya sangat gembira. Keikhlasan wajah keluarga tersebut jelas terpancar kerana anak kesayangan mereka bakal bersekolah seperti pelajar lain. Ibunya hampir menitiskan air mata kerana terlalu gembira. Sebelum balik saya sempat minta nombor telefon mereka, disebabkan mereka tiada telefon maka saya mengambil nombor telefon jiran agar mudah saya hubungi keluarga tersebut. Saya memberitahu agar mereka berjumpa dengan PK HEM untuk urusan selanjutnya.
Hati saya berasa lega sekurang-kurangnya ada pelajar tercicr tersebut benar-benar ingin bersekolah. Sepanjang petang tersebut walaupun letih namun apabila mengenangkan kembali keluarga tersebut hati berasa sedih bercampur gembira kerana sekurang-kurangnya matlamat kami tercapai jua.
Keesokan harinya, setelah berjumpa dengan PK HEM saya bertanyakan ada atau tidak ibu bapa pelajar tersebut yang datang. Daripada yang kami temui sepanjang minggu termasuk ke kampung-kampung yang lain, tidak ramai yang muncul namun ada juga yang mula bersekolah. Keluarga yang mempunyai kisah sedih itu tidak muncul walaupun tarikh akhir sudah tiba. Resah juga saya walaupun tugas saya untuk mencari pelajar tercicir sudah selesai. Akhirnya saya menelefon menuju ke telefon jiran mereka bertanyakan kenapa tidak muncul di sekolah. Dengan nada keberatan bapa pelajar tersebut memberitahu bahawa anaknya berubah fikiran kerana anaknya malu kerana tidak mempunyai pakaian sekolah, buku, beg sekolah dan macam-macam lagi. Saya menerangkan kepada bapa pelajar tersebut agar berjumpa dengan PK HEM kerana pelajar tersebut akan di bantu termasuklah pemberian buku dan pakaian sekolah.
Saya maklumkan kepada pihak sekolah keadaan keluarga tersebut dan pihak sekolah akan berurusan dengan keluarga pelajar tersebut. Sampai ke hari ini, saya masih tidak tahu sama ada pelajar tersebut sudah bersekolah atau tidak. Saya berharap agar pelajar tersebut sudah pun bersekolah seperti biasa.
Jadi apa yang saya cuba nyatakan disini adalah tanpa pendidikan kita tidak akan dapat ke mana-mana malah kita akan terus dijajah oleh kemiskinan. Hanya satu saja jalan untuk keluar dari jajahan kemiskinan adalah dengan pendidikan.
Kepada pelajar semua, apabila kita bersekolah, belajarlah bersungguh-sungguh. Sememangnya belajar itu sakit tapi nikmatnya untuk selama-lamanya. Ibu bapa inginkan satu daripada anak-anak mereka...jangan warisi kemiskinan mereka dan mereka berharap anak mereka dapat keluar dari arus kemiskinan ini.
Semoga dengan catatan ini, kita semua bersyukur dengan apa yang kita ada.

“Insan Cemerlang, Ummah Terbilang”. Perarakan Maulidur Rasul di Betong.






Oleh: NorashiQin Zamhari (5A).

Pada 12 Rabiulawal Umat Islam akan menyambut hari Keputeraan Nabi Muhammd S.A.W setiap tahun. Untuk sambutan kali ini yang telah jatuh pada 31 March 2007 Sekolah Menengah Kebangsaan Pusa telah menghantar wakil perarakan ke Betong. Majlis itu diwakili oleh hampir semua sekolah di Bahagian Betong.
Majlis itu bermula pada jam 7.00 pagi hingga 10.30 pagi dengan acara perarakan. Ianya dimulakan dengan berarak dari stadium Betong menuju ke Kampung Masjid Baru dan diikuti ke Kampung Baru kemudian berpatah balik ke Stadium Betong dan disinilah mereka berhimpun.
SMK Pusa telah menghantar wakil seramai 19 orang yang diwakili oleh 12 orang pelajar dari tingkatan 5, 5 orang dari tingkatan 4 dan 2 orang dari tingkatan 3. rombongan mereka ini telah diiringi oleh Cikgu Rusnizam, Ustaz Zulkifli dan Ustaz Fairus.
Para pelajar yang terlibat adalah Shamat bin Aban, Salehi bin Majeni, Farid bin Majeni, Shabra bin Seli, Mohd. Idris bin Jamuhi, Albakais Buwie, Ambri Seli, Mohd. Nazri bin Isnan, Abg. Shahril bin Abg Mula, Abg Muhd. Ridzwan Abg Sahid, Azizul bin Bujang, Mohd. Ariffin Subri, Mohd. Jani Bujang, Wasli Hj. Aboh, Iswandi Kenit, Ahmad Fu’ud Hazemi, Mohd. Salbia Muhd. Akbar, Muhd Hafizzudin b. Jamali dan Bakri Angi.
Pearakan ini bertemakan ‘Insan Cemerlang, Ummah Terbilang’. Antara perkara yang turut dipertandingkan adalah pakaian peserta perarakan dan sepanduk.
Sepanduk daripada wakil SMK Pusa telah dihasilkan oleh ketiga-tiga orang guru pengiring dan dibantu oleh 2 orang pelajar dari tingkatan 5 iaitu Sahmat bin Aban dan Azizul bin Bujang.
Dalam majlis ini juga Yang Behormat Bolhassan Haji Di telah dijemput merasmikan majlis tersebut. Rombongan dari SMK Pusa tidak pulang dengan tangan kosong pada hari itu, mereka telah mendapat tempat pertama dalam pertandingan itu bagi ketegori sekolah menengah – sekolah menengah/ketegori C dan mendapat sijil,trofi dan wang tunai sebanyak RM250.
Sebagai warga SMK Pusa kita turut berbesar hati diatas pencapaian mereka ini. Tahniah kita ucapkan kepada kejayaan mereka.

PROGRAM NILAM: Nadi ilmu amalan membaca.

Puan Christine Linsah.

Kelab penerbitan telah mengambil kesempatan menemubual guru NILAM SMK Pusa untuk mendapat penjelasan mengenai amalan membaca pelajar SMK Pusa. Ikutilah temubual dengan Puan Christine Linsah antara lain membincangkan perancangan jangka pendek dan panjang Program NILAM ini.

BPC: Terima kasih diucapkan kepada Puan Christine Linsah kerana sudi meluangkan sedikit masa untuk ditemubual.
C L: Sama-sama. Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kerana dengan ini secara tidak langsung dapat menyampaikan kepada para pelajar matlamat NILAM dan apa yang pelajar harus tahu sepanjang program ini dilaksanakan.
BPC: Sebelum kita bertanyakan lebih lanjut tentang Program NILAM ini, bolehkah terangkan serba ringkas apakah yang dimaksudkan dengan NILAM?
C L: NILAM bermaksud ‘Nadi Ilmu Amalan Membaca.’ NILAM sebenarnya merupakan penggabungan atau adunan kesemua aktiviti galakan membaca yang pernah dijalankan di sekolah dengan memberi pengiktirafan yang sesuai.
BPC: Sejak bila NILAM ini dijalankan dan apakah matlamatnya?
C L: Program NILAM Tahap Jauhari peringkat kebangsaan bagi Sekolah Menengah bermula pada tahun 1999. manakala bagi Rakan Pembaca pula pada tahun 2002. matlamat Program NILAM ialah supaya terbina tabiat membaca dalam kalangan pelajar.
BPC: Mengapakah baru sekarang Program NILAM ini dilaksanakan di SMK Pusa?
C L: Sebenarnya Program Nilam sudah pun lama dilaksanakan di SMK Pusa. Pelbagai aktiviti galakan membaca telah dijalankan sejak tahun 2005 seperti pertandingan bercerita, pertandingan menghasilkan buku skrap dan sebagainya.
BPC: Apakah kekangan dalam pelaksanaan program ini pada peringkat awal?
C L: Pada peringkat awal, terdapat sedikit masalah yang dihadapi oleh AJK NILAM dalam melaksanakan Program NILAM ini. Para pelajar agak malas dalam mengisi buku rekod bacaan walaupun mereka rajin membaca buku. Keadaan ini menimbulkan masalah dalam bahagian rekod bacaan. Keadaan ini dapat diselesaikan dengan adanya bantuan daripada guru-guru bahasa dan guru-guru tingkatan dalam melakukan pemantauan dan bimbingan.
BPC: Apakah respon pelajar tentang program NILAM?
C L: Pada tahun ini, saya dapati respon pelajar terhadap aktiviti-aktiviti yang dianjurkan agak baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.
BPC: Bagaimanakah tahap amalan membaca pelajar di SMK Pusa?
C L: Tahap membaca dalam kalangan pelajar SMK Pusa agak sederhana.
BPC: Tidakkah terlalu terlambat memupuk amalan membaca dikalangan pelajar sekolah menengah sedangkan sepatutnya amalan ini seharusnya bermula dirumah oleh ibu bapa?
C L: Ya.
BPC: Adakah NILAM ini hanya dihadkan kepada bacaan buku cerita berbentuk novel atau cerpen?
C L: Ya.
BPC: Adakah majalah hiburan, komik dan juga surat khabar termasuk dalam program NILAM?
C L: Tidak.
BPC: Difahamkan Program NILAM ini memberikan ganjaran kepada pelajar yang membaca buku mengikut kreteria yang digariskan, apakah ia disambut baik oleh pelajar?
C L: Tahun ini saya dapati terdapat sambutan yang agak baik daripada para pelajar. Para pelajar telah mula membawa buku rekod nilam semasa sessi program NILAM Tahap Jauhari dijalankan sama ada di perpustakaan atau dewan untuk diisi.
BPC: Apakah persediaan oleh perpustakaan dalam menghadapi program ini?
C L: Pihak perpusatakaan telah menyediakan 100 buah buku iaitu 50 buah buku Bahasa Inggeris dan 50 buah buku Bahasa Melayu sebagai permulaan bagi program ‘Buku Ku Sayang’. Para pelajar yang mengikuti program NILAM di dewan dapat membaca atau mengisi rekod bacaan daripada buku-buku yang telah disediakan oleh perpustakaan ini.
BPC: Bagaimana dengan buku yang disediakan? Adakah mencukupi serta relevan pada masa kini?
C L: Pihak perpustakaan telah memilih buku berdasarkan tahap para pelajar sekolah ini. Untuk maklumana, jumlah buku yang terdapat di perpustakaan ialah 12658 buah buku dan nisbah pelajar per buku ialah 10:1. Rasanya bekalan buku ini mencukupi untuk para pelajar.
BPC: Adakah perpustakaan sekolah turut berkerjasama dengan perpustakaan awam dalam menjayakan program ini?
C L: Belum lagi; satu cadangan yang baik.
BPC: NILAM pada dasarnya merupakan satu program yang memupuk amalan membaca pelajar khasnya, adakah pada pendapat Puan Christine, pelajar memahami matlamat ini atau sebaliknya?
C L: Pelajar sebelum ini telah pun didedahkan tentang projek NILAM. Saya rasa majoriti pelajar memahami matlamat program NILAM ini.
BPC: Selain pelaksanaan yang dijalankan setakat ini, adakah program ini sudah menampakkan hasil jika dilihat dari segi minat pelajar meminjam buku di perpustakaan?
C L: Para pelajar memang ada meminjam buku di perpustakaan semenjak program ini dilaksanakan.
BPC: Apakah perancangan jangka masa pendek dan jangka masa panjang yang telah dan akan dilaksanakan oleh NILAM?
C L: Bagi perangcangan jangka masa pendek ialah supaya lebih banyak lagi bilangan para pelajar yang mendapat pengiktirafan-pengiktirafan seperti gangsa, perak, emas dan NILAM bagi kedua-dua tahap Jauhari dan Rakan Pembaca disamping dapat menyemai tabiat membaca dalam kalangan pelajar. Manakala bagi perangcangan jangka panjang pula supaya SMK Pusa dapat menghasil Tokoh NILAM bagi peringkat kebangsaan.
BPC: Kalau mengikut pemerhatian kami, program ini melibatkan banyak pihak khasnya guru tingkatan dan guru-guru lain, adakah semua pihak memberi kerjasama yang diharapkan oleh NILAM?
C L: Setakat ini semua pihak yang terlibat memberi kerjasama yang baik.
BPC: Jika dilihat dari segi pembangunan sains dan teknologi, setiap sekolah telah disediakan dengan makmal komputer. Ini bermakna semua pelajar akan lebih mengemari internet contohnya, adakah ini akan memberi kesan kepada program NILAM?
C L: Sebenarnya, apabila mereka membuka internet, secara tidak langsung mereka juga melalui proses membaca. Bergantung kepada diri pelajar itu sendiri sama ada mereka ada kesungguhan untuk mengisi buku rekod bacaan NILAM. Saya percaya internet juga mempunyai rencana-rencana, cerita yang menarik sebagai bahan tambahan untuk rekod bacaan mereka.
BPC: Apakah harapan program NILAM terhadap amalan membaca di kalangan pelajar SMK Pusa di masa akan datang?
C L: Tahap amalan membaca dalam kalangan pelajar SMK Pusa masih berada pada tahap yang sederhana dan harus dipertingkatan lagi pada masa akan datang.
BPC: Akhir sekali, apakah nasihat Puan Chistine kepada pelajar SMK Pusa berkenaan program NILAM ini?
C L: Saya berharap para pelajar SMK Pusa menyemai amalan membaca ini dalam diri masing-masing. Kita kena tahu yang kejayaan itu akan dapat dicapai jika rajin membaca. Mencintai buku, mencintai ilmu akhirnya peroleh kejayaan. Ö

PERBAHASAN BAHASA INGGERIS DI SMK (BM) SARATOK.

Nurul Izni, Maryam, Gerald, Norlia dan Cik Pawa.
Jangan putus asa ok...
Oleh: Norlia bt. Isha (5A)

SARATOK 3 APRIL - Pertandingan Bahas Bahasa Inggeris Ala Parlimen Bagi Sekolah-sekolah Menengah telah berlangsung di SMK (BM) Saratok selama 2 hari.
Sekolah SMK Pusa telah menghantar seramai 4 orang pelajar untuk mewakili sekolah. Mereka terdiri daripada Nurul Izni bt. Hj. Ossen, Maryam Suhaila bt. Bohari, Gerald Grino ak Apil dan Norlia bt. Isha dan diringi oleh seorang seorang guru pengiring, Cik Pawa ak Igai.
Acara dimulakan dengan pendaftaran peserta dan kemudian mesyuarat oleh guru-guru pengiring. Sekolah kita dikejutkan apabila tajuk perbahasan telah ditukar pada saat-saat akhir menyebabkan peserta kita tidak bersedia dan menyebabkan mereka telah kecundang pada peringkat awal. Rata-rata peserta melahirkan rasa kecewa disebabkan hal tersebut memandangkan mereka telah bertungkus lumus untuk mencari bahan dan menghafal teks.
Keadaan ini disebabkan sekolah kita terlewat diberitahu tentang pertukaran tajuk dan fak yang dihantar oleh sekolah tersebut kurang jelas.
Sebanyak 10 buah sekolah telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut iaitu SMK St.Augustine Betong, SMK (BM) Saratok, SMK Pusa, SMK Ulu Layar, SMK DP Kedit, SMK Agama Sri Aman Saratok, SMK Saratok, SMK Spaoh dan SMK Kalaka Roban.
Walaupun pasukan bahas sekolah kita tidak berjaya, diharapkan janganlah berputus asa dan diharapkan tahun hadapan cuba lagi.

EN. MAHLI BIN ROSLI: “Semakin dekat kita kepada kejayaan maka kita akan merasakan lebih sukar dan sengsara.”

(Wawancara ini telah dipetik dari Buletin PC2010! Saya berharap bekas pelajar SMK Pusa yang terlepas Buletin tersebut dapat membaca menerusi blog ini.)

Tugasnya sebagai pengetua membuatkan dia sentiasa sibuk dan kadang-kala tidak pernah kenal erti rehat. Orangnya yang tinggi lampai dan sentiasa memberikan senyuman serta ramah membuatkan sesiapa saja akan menyukai beliau. Buletin PC2010! Telah berkesempatan untuk mewawancara beliau bertanyakan tentang masa depan SMK Pusa dan pandangan beliau secara peribadi. Di SMK Pusa, tiada siapa yang tidak mengenali beliau dan tanpa perlu membuang masa kita ikuti wawancara bersama En. Mahli bin Rosli.

BPC: Bilakah tarikh En. Mahli mula berkhidmat di SMK Pusa?
MR:
15 Ogos 2005
BPC: Adakah ini pengalaman pertama menjadi pengetua?
MR:
Ya.
BPC: Sebelum menjadi pengetua, En. Mahli bertugas di mana?
MR:
Saya mula mengajar di SMK Serian pada tahun 1987. Kemudian ditukarkan ke SM Sains pada tahun 1994. Pada ketika itu SM Sains baru dibuka. Kemudian pada tahun 2001 sekali lagi ditukarkan ke Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak sebagai Penolong Pengarah Kanan Sains dan Matematik, Sektor Pengurusan Akademik. Pada tahun 2003, saya melanjutkan pelajaran dalam bidang Diploma Kepengetuaan di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands dan seterusnya ke peringkat Sarjana Kepengetuaan di Universiti Malaya. Selepas tamat pengajian, saya terus ditempatkan sebagai pengetua SMK Pusa.

BPC: Boleh ceritakan serba sedikit tentang latar belakang En. Mahli?
MR:
Saya berasal dari kampung yang berdekatan, iaitu Kampung Serembang, Spaoh. Saya telah dibsearkan dalam suasana kampung yang serba kekurangan dan kesengsaraan. Mungkin jauh lebih susah daripada apa yang dialami oleh anak-anak kampung sekarang.
BPC: Berjauhan daripada keluarga adakah ia menganggu tumpuan untuk mengendalikan sekolah dan juga sebagai ketua keluarga?
MR:
Tidak sama sekali. Itu adalah perkara biasa. Malah lebih mudah untuk bekerja siang dan malam. Lagipun keluarga saya faham bahawa inilah cara untuk mencari rezeki. Semua orang perlu berkorban.
BPC: Apakah yang menjadi kekuatan En. Mahli dalam memikul tanggungjawab sebagai seorang pengetua?
MR: Kekuatan seseorang terletak pada niat, hasrat, tekad dan keyakinan diri yang tinggi. Saya yakin dan berpegang kepada prinsip: Semakin dekat kita kepada kejayaan maka kita akan merasakan lebih sukar dan sengsara.
BPC: Susahkah untuk menjadi En. Mahli? Sebab jika di lihat En. Mahli sangat sempurna dan bijak dalam semua hal.
MR: Tiada apa yang istimewa pada saya. Saya manusia biasa. Segala yang baik adalah datang daripada Allah. Saya masih banyak kelemahan. Cuma apa yang paling berharga dianugerahkan oleh Allah pada saya dan semua orang lain adalah akal yang waras. Sesiapa yang waras dan rajin serta kreatif berfikir akan jadi bijak. Semua kita adalah waras. Jadi, fikirkanlah.
BPC: Dari bulan Ogos 2005 sehingga sekarang, apakah perubahan yang paling besar berlaku di SMK Pusa?Adakah perubahan itu ke arah yang positif atau sebaliknya?
MR: Sejak saya datang ke SMK Pusa, saya sangat sedih melihat keadaan pelajar. Mereka tidak dapat mengawal diri dan tidak tahu hala tuju sebagai seorang yang bersekolah. Mereka kurang yakin dan ramai tak sedar bahawa mereka sebenarnya boleh jadi pandai dan bijak. Itulah perubahan yang saya nak buat dan ia mengatasi segala-galanya. Saya juga nak melihat pelajar-pelajar diberi tempat tidur, makan, mandi dan belajar yang selesa. Saya juga berniat untuk memberi keselesaan kepada guru-guru semampu yang boleh. Alhamdulillah, berkat usaha kita dah nampak sedikit perubahan. Mudah-mudahan usaha ini akan dapat diteruskan hinggalah SMK Pusa Cemerlang pada 2010.
BPC: Boleh terangkan secara ringkas apakah matlamat SMK Pusa selain ingin cemerlang 2010?
MR:
Kita nak jadikan SMK Pusa Perkasa. Maksudnya, ia menjadi tarikan kepada anak-anak di daerah ini atau daerah lain untuk bersekolah di sini.

BPC: Secara amnya, SMK Pusa banyak mengalami perubahan dari bentuk fizikal, bagaimana dengan perubahan sikap warga SMK Pusa khasnya, adakah turut seiring dengan perubahan fizikal?
MR: Alhamdulillah, saya nampak pelajar-pelajar dah mula faham tentang niat dan hasrat kita. Contohnya; mereka tidak lagi merayau-rayau pada waktu maghrib tetapi semuanya ke Surau untuk solat berjemaah. Pelajar yang ponteng dan “escape” hujung minggu sudah jauh berkurang. Mereka juga sudah faham menggunakan waktu belajar, khasnya pada waktu malam tanpa bising sangat. Makin ramai yang suka pergi ke pusat sumber untuk buat rujukan dan sebagainya.

BPC: Semenjak En. Mahli menjadi pengetua disini, apakah perkara yang paling sukar sekali dilaksanakan?
MR: Saya tak menghadapi banyak kesukaran. Saya cuma mengharapkan kerjasama daripada semua guru, kakitangan dan pelajar semua. Lagipun, sukar atau tidak kita tidak ada pilihan. Kita mesti buat sampai berjaya.

BPC: Kalau dilihat secara umumnya, En. Mahli banyak menggunakan pendekatan psikologi iaitu secara lembut apabila berhadapan dengan pelajar yang bermasalah, apakah pendekatan itu berjaya setakat ini?
MR:
Lembut atau kasar cara saya bergantung kepada pelajar sendiri. Saya suka mengingatkan pelajar terlebih dahulu sebelum tindakan dibuat. Kadang-kadang saya bertindak bukan sahaja sebagai pengetua tetapi sebagai orang tua yang perlu mendidik anak-anak. Orang tua mana yang suka melihat anak yang masih sekolah merokok, menghidu gam, minum arak bergaduh dan lain-lain? Kadang-kadang saya terpaksa berkeras dan tegas.
BPC: Dari segi akademik, apakah masalah utama pelajar di SMK Pusa?
MR:
Seperti yang saya kata tadi, pelajar kita boleh jadi pandai seperti orang lain. Cuma apa yang menyedihkan ialah pelajar kurang kesedaran tentang kebolehan mereka. Jika mereka sedar dan mahu berusaha lebih kuat insyallah mereka akan berjaya dengan cemerlang.
BPC: Pada PMR 2006 yang lalu, SMK Pusa dikedudukan nombor 4 di bawah dengan peratusan 45%, turun sebanyak 1% berbanding tahun sebelumnya 46%, apakah strategi yang bakal dilakukan oleh pihak sekolah agar prestasi tahun ini tidak lagi turun?
MR:
Turun naik prestasi adalah perkara biasa. Tak kisahlah kedudukan apa sekalipun. Yang paling penting semua pelajar dapat keputusan yang baik dan dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

BPC: Adakah pelajar PMR tahun ini sendiri faham apakah peranan mereka dalam meningkatkan peratusan PMR?
MR:
Sukar untuk saya jawab soalan ini. Mereka sendiri perlu faham bahawa mereka perlukan keputusan yang baik demi untuk masa depan mereka sendiri.
BPC: Bagaimana target SMK Pusa untuk PMR tahun ini?
MR:
Target kita mestilah 50 % ke atas. Kita tak nak lagi dicop sebagai sekolah berprestasi rendah (SPR). Sampai bila bila kita nak berada dalam kelompok SPR ini?
BPC: Sekolah SMK DPK Kedit berjaya menjadi tempat teratas dalam PMR 2006 dibahagian Betong, apakah yang boleh SMK Pusa contohi dari keadaan ini?
MR:
Mereka berusaha kuat dan mempunyai program yang mantap. Kalau kita tanya pada orang yang berjaya, jawapannya tak lain dan tak bukan ialah rajin berusaha.
BPC: Adakah SMK Pusa berbeza dengan sekolah lain yang terdapat di Bahagian Betong?
MR: Takkan ada bezanya. Daerah Betong ini kecil saja dan semuanya adalah budak kampung. Kalau ada beza pun, mungkin sikap kita yang tak sama. Misalnya, orang mungkin rajin dan kita kurang rajin.

BPC: Pada pendapat En. Mahli, sukarkah SMK Pusa untuk bersaing dengan sekolah yang ada di bahagian Betong?
MR: Tak ada sukarnya. Kita dah buktikan bahawa dalam hal tertentu kita sudah dapat kejayaan. Contohnya: Pasukan sepak takraw, pasukan bola tamper 18TKB dan kita jadi johan pertandingan sepanduk sempena perarakan maulidur-rasul peringkat bahagian Betong. Berita terkini, ialah seorang pelajar kita (satu-satunya dari Betong) telah terpilih untuk mewakili Sarawak dalam Kem Kokurikulum yang akan diadakan di Melaka pada pertengahan bulan April ini.
BPC: Kalau dilihat dalam bidang sukan terutamanya sepak Takraw, sekolah kita merupakan pasukan terkuat dalam Bahagian Betong, adakah pelajar sekolah kita lebih cenderung dalam bidang sukan berbanding akademik?
MR:
Biarlah soalan ini dijawab oleh pelajar sendiri. Saya Cuma percaya bahawa kita boleh maju dalam apa sahaja asalkan kita mahu. Bagi saya sukan tak menghalang kejayaan akademik seseorang. Contohnya: Nichole David, pemain Squash no.1 dunia merupakan pelajar cemerlang dalam SPM (8A). Yang penting pandai urus masa. Masa main kita mainlah tapi dalam kelas kita dengarlah cakap cikgu. Kalau kekuatan ini diseimbangkan SMK Pusa akan cemerlang.
BPC: Bagaimana dengan PIBG SMK Pusa, apakah peranan mereka dalam menjayakan matlamat sekolah?
MR: PIBG SMK Pusa stakat ini telah memberi kerjasama yang sebaik mungkin. Cuma mereka kekurangan dana.
BPC: Bagaimana dengan ibu bapa pelajar, adakah mereka ambil tahu tentang pembelajaran anak-anak mereka?
MR:
Sebahagian daripada ibu bapa memang mengambil berat tentang pelajaran anaknya. Tapi masih ramai yang tak begitu faham tentang kepentingan pelajaran untuk mengubah cara hidup anak di masa depan. Kita tak pasti apa punca sebenarnya. Mungkin disebabkan mereka sendiri tidak mempunyai pengetahuan.

BPC: Tahun lepas telah diadakan 3 majlis dalam 1 acara, Majlis kecemerlangan pelajar, Hari Terbuka dan Ramah-tamah aidilfitri, bagaimana sambutan ibu bapa?
MR:
Sambutan daripada ibu memang baik tapi sambutan daripada bapa masih lagi belum memuaskan. Mungkin ada sebabnya yang mungkin kita tak tahu.

BPC: Adakah terdapat juga ibu bapa yang lepas tangan dalam mendidik anak-anak mereka dengan membiarkan pihak sekolah sahaja mendidik anak-anak mereka?
MR:
Mereka bukan lepas tangan. Cuma mereka tidak mempunyai ilmu keibubapaan dan kesedaran tentang betapa pentingnya pendidikan itu terhadap anak mereka.

BPC: Apakah sekolah ‘impian’ En. Mahli? Boleh terangkan serba ringkas?Bolehkan SMK Pusa menjadi sekolah ‘impian’ seperti mana yang En. Mahli inginkan?
MR: Impian saya adalah sama seperti impian semua guru dan pelajar. Visi SMK Pusa iaitu Pusa Cemerlang 2010 adalah jelas. Itulah impian kita. Boleh atau tak boleh bergantung kepada kesediaan semua pihak seperti guru, kakitangan dan pelajar. Apa yang boleh saya buat jika saya saja ada impian orang lain tidak?

BPC: Pernah sekali En.Mahli memberitahu bahawa dihujung tahun ini, En.Mahli bercadang memohon untuk berpindah, kenapakah bergitu cepat sekali?
MR: Saya ada keluarga yang ditinggalkan. Walaubagaimanapun itu bukan bermakna saya bekerja separuh hati di SMK Pusa. Prinsip saya ialah semakin cepat saya nak berpindah semakin kuat saya bekerja. Hasil kerja itu banyak atau tidak bukan kerana lama atau sekejap tetapi kerana usaha yang gigih. Kalau kita kerja kuat dalam masa yang singkat pun kita dapat hasil yang banyak.

BPC: Tidakkah En. Mahli berasa rugi meninggalkan sekolah ini setelah bersusah payah memberi nafas baru, tidakkah ingin melihat ‘SMK Pusa cemerlang 2010’ hasil titik peluh En.Mahli sebelum ini?
MR:
Kenapa harus kita berfikir begitu. Sekolah ini bukan milik saya tapi milik masyarakat di sini. Mereka berhak mempunyai sekolah yang baik seperti sekolah di Bandar. Kalau boleh tak payahlah orang kampung yang susah dan miskin susah-susah hantar anak ke Bandar. Itu perlukan banyak duit.

BPC: Mungkin ramai yang bersependapat dengan saya jika saya katakan, adalah satu kerugian yang besar kepada pihak sekolah jika En. Mahli meninggalkan sekolah ini, tidakkah En.Mahli cuba menangguhkan hasrat tersebut demi untuk SMK Pusa?
MR: Jangan cakap begitu. Ramai lagi yang lebih baik daripada saya. Malah di sekolah inipun ada ramai yang berpotensi jadi pemimpin (pengetua) di masa akan datang. Cuma jangan lupa, kita perlu belajar dan terus belajar. Banyak ikut fikiran dan jangan turut perasaan. Saya rindukan keluarga saya.

BPC: Apakah pesanan pengetua kepada semua warga SMK Pusa?
MR: Segalanya sudah jelas daripada saya. Saya harap guru-guru dan pelajar-pelajar yang membaca catatan ini faham tentang apa tujuan kita berada di sini. Bukan kerana nama tetapi atas satu perjuangan dan amanah yang dipegang untuk sama memperkasakan SMK Pusa.
SMK PUSA
CEMERLANG 2010.
SELAMAT MAJU JAYA !!!!!!!!!