JANGAN Klik sini:

Tuesday, April 24, 2007

Catatan seorang guru: Pendidikan adalah kebebasan.

(Sekadar gambar hiasan. Mohd. Izuan sedang menguji bahan kimia semasa pameran sains dan matematik yang diadakan di SMK Pusa.)

Kisah ini telah berkali-kali saya ceritakan kepada rakan-rakan, keluarga malah sesiapa saja yang saya temui. Ada sesuatu yang boleh kita kongsikan bersama dan saya percaya jika kita mempunyai naluri serta akal fikiran yang waras sudah tentu kita akan dapat memahaminya.
Tahun 2006 yang lalu, masa itu saya baru masuk tahun ketiga berkhidmat di SMK Pusa. Apalah sangat pengalaman yang ada, namun sesuatu telah berlaku dan ia begitu memberi satu pengalaman yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
AJK Biasiswa dipanggil untuk bermesyuarat kerana kami ditugaskan untuk mencari pelajar tercicir. Pelajar tercicir ini bakal diberikan bantuan kewangan dalam bentuk bantuan yang dipanggil KWAMP. Di sini masalah pelajar tercicir agak ketara dan kebanyakkan pelajar yang tercicir dikhuatiri disebabkan oleh masalah kewangan.
Pada mulanya saya berasa resah apabila ditugaskan untuk mencari pelajar di Kampung Tambak, Kampung Dato’ Godam, Kampung Kalok dan Kampung Hilir serta Kampung Hulu Pusa. Semenjak saya datang ke sini boleh dibilang dengan jari saya memasuki kampung tersebut. Malah kalau diikutkan, boleh dikatakan saya kurang mahir selok belok kampung tersebut. Bermacam-macam yang saya fikirkan. Dahlah saya langsung tidak mengenali pelajar tersebut, mencari alamat mereka pun saya tak tahu. Kami cuma diberi tempoh lebih kurang seminggu untuk mencari mereka.
Dalam kegelisahan itu, saya minta bantuan dua orang pelajar saya untuk mengesan pelajar tersebut. Sebelum bertolak ke kampung tersebut, saya minta beberapa orang pelajar yang sekampung dengan pelajar tercicir tadi untuk memberitahu saya nama panggilan pelajar tersebut di kampung. Hati saya masih lagi berdebar-debar memikirkan apakah reaksi ibu bapa pelajar tersebut dengan kehadiran saya nanti dan satu perasaan yang sukar saya kikisan adalah perasaan malu.
Pada hari yang telah saya janjikan maka saya bersama Fairol Hamid dan Noor Nasriq Sahari menuju ke Kampung Hulu dan Kampung Hilir Pusa. Saya bernasib baik kerana Noor Nasriq merupakan penduduk kampung di situ tetapi dia juga kurang mengenali pelajar yang bakal kami cari. Namun itu tidak menjadi penghalang untuk kami mencari. Perjalanan menuju ke kampung itu memerlukan kami menaiki perahu tambang. Gementar juga apabila menaiki sampan itu. Terfikir juga dalam hatiku bagaimanalah pelajar-pelajar yang setiap hari menggunakannya. Dikejauhan kehadiran kami disapa mesra oleh layang-layang putih yang terbang megah ditengah-tengah sungai. Pemiliknya sudah tentu sedang berada ditepi sungai, menerbangkan dengan megah layang-layang tersebut. Akhirnya kami sampai di jeti kecil dan meneruskan misi mencari pelajar tersebut.
Berpeluh kami mencari rumah pelajar tersebut, kadang-kala nama panggilan tersebut melibatkan lebih daripada dua orang. Apabila kami sebut nama penuh pula, ramai yang tidak kenal. Mahu tak mahu kami pergi satu persatu rumah budak tersebut. Tetapi rata-rata penduduk kampung sudi menghulurkan bantuan.
Kami hampir berputus asa apabila pelajar tercicir ada yang berpindah mengikut keluarga mereka ke tempat lain, ada yang membantu keluarga di laut menangkap ikan, ada yang menolong bapa di hutan sebagai pembalak dan apa yang lebih menyedihkan ada yang tinggal di kampung tetapi dia sendiri tidak mahu bersekolah. Apabila saya masuk ke dalam rumah mereka, saya sempat menjeling persekitaran rumah, ternyata ada yang tidak mempunyai masalah kewangan cuma anak mereka yang tidak mahu bersekolah. Salah seorang pelajar tercicir itu memang tidak mahu bersekolah. Ibunya sungguh mengharapkan agar anaknya bersekolah tetapi anaknya berkeras tidak mahu. Saya berkeras ingin bertemu sendiri anaknya, rupa-rupanya pemilik layang-layang putih itu tadi adalah anak dia. Kanak-kanak itu langsung tidak mahu berjumpa dengan kami pada awalnya, namun setelah di desak akhirnya di mengalah. Dia cuma mengangguk tanda setuju mungkin untuk mempercepatkan keadaan. Apabila saya katakan dia harus hadir esok dia tidak memandang wajah saya sebaliknya terus mendapatkan layang-layangnya semula.
Kisah yang satu ini tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Hati mana yang sanggup melihat ibu bapa yang mengharapkan anaknya untuk bersekolah seperti orang lain, lantas disebabkan kesempitan hidup anaknya tidak mampu dihantar kesekolah.
Semasa saya datang kerumahnya, hanya anak perempuan dan bapanya yang sakit saja di rumah. Anak perempuannya yang kami cari sedang berada di dalam dapur. Ibunya pula yang bekerja mengutip tin-tin kosong, botol plastik dan besi buruk belum lagi pulang. Bapanya menerangkan bahawa mereka tidak mampu untuk menyekolahkan anaknya disebabkan kesempitan hidup dan dia pula sakit. Apabila saya tujukan soalan adakah dia ingin bersekolah, kanak-kanak itu mengangguk namun wajahnya terpancar kerisauan yang sukar difahami.
Semasa kami sedang dalam proses mengisi borang, ibunya baru balik. Tangannya penuh dengan botol plastik dan tin aluminium. Wajahnya ceria walaupun kepenatan dan mungkin kehadiran kami telah diberitahu oleh jiran-jiran yang lain, membuatkan ibunya sangat gembira. Keikhlasan wajah keluarga tersebut jelas terpancar kerana anak kesayangan mereka bakal bersekolah seperti pelajar lain. Ibunya hampir menitiskan air mata kerana terlalu gembira. Sebelum balik saya sempat minta nombor telefon mereka, disebabkan mereka tiada telefon maka saya mengambil nombor telefon jiran agar mudah saya hubungi keluarga tersebut. Saya memberitahu agar mereka berjumpa dengan PK HEM untuk urusan selanjutnya.
Hati saya berasa lega sekurang-kurangnya ada pelajar tercicr tersebut benar-benar ingin bersekolah. Sepanjang petang tersebut walaupun letih namun apabila mengenangkan kembali keluarga tersebut hati berasa sedih bercampur gembira kerana sekurang-kurangnya matlamat kami tercapai jua.
Keesokan harinya, setelah berjumpa dengan PK HEM saya bertanyakan ada atau tidak ibu bapa pelajar tersebut yang datang. Daripada yang kami temui sepanjang minggu termasuk ke kampung-kampung yang lain, tidak ramai yang muncul namun ada juga yang mula bersekolah. Keluarga yang mempunyai kisah sedih itu tidak muncul walaupun tarikh akhir sudah tiba. Resah juga saya walaupun tugas saya untuk mencari pelajar tercicir sudah selesai. Akhirnya saya menelefon menuju ke telefon jiran mereka bertanyakan kenapa tidak muncul di sekolah. Dengan nada keberatan bapa pelajar tersebut memberitahu bahawa anaknya berubah fikiran kerana anaknya malu kerana tidak mempunyai pakaian sekolah, buku, beg sekolah dan macam-macam lagi. Saya menerangkan kepada bapa pelajar tersebut agar berjumpa dengan PK HEM kerana pelajar tersebut akan di bantu termasuklah pemberian buku dan pakaian sekolah.
Saya maklumkan kepada pihak sekolah keadaan keluarga tersebut dan pihak sekolah akan berurusan dengan keluarga pelajar tersebut. Sampai ke hari ini, saya masih tidak tahu sama ada pelajar tersebut sudah bersekolah atau tidak. Saya berharap agar pelajar tersebut sudah pun bersekolah seperti biasa.
Jadi apa yang saya cuba nyatakan disini adalah tanpa pendidikan kita tidak akan dapat ke mana-mana malah kita akan terus dijajah oleh kemiskinan. Hanya satu saja jalan untuk keluar dari jajahan kemiskinan adalah dengan pendidikan.
Kepada pelajar semua, apabila kita bersekolah, belajarlah bersungguh-sungguh. Sememangnya belajar itu sakit tapi nikmatnya untuk selama-lamanya. Ibu bapa inginkan satu daripada anak-anak mereka...jangan warisi kemiskinan mereka dan mereka berharap anak mereka dapat keluar dari arus kemiskinan ini.
Semoga dengan catatan ini, kita semua bersyukur dengan apa yang kita ada.

No comments: