JANGAN Klik sini:
Tuesday, April 24, 2007
PROGRAM NILAM: Nadi ilmu amalan membaca.
Kelab penerbitan telah mengambil kesempatan menemubual guru NILAM SMK Pusa untuk mendapat penjelasan mengenai amalan membaca pelajar SMK Pusa. Ikutilah temubual dengan Puan Christine Linsah antara lain membincangkan perancangan jangka pendek dan panjang Program NILAM ini.
BPC: Terima kasih diucapkan kepada Puan Christine Linsah kerana sudi meluangkan sedikit masa untuk ditemubual.
C L: Sama-sama. Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kerana dengan ini secara tidak langsung dapat menyampaikan kepada para pelajar matlamat NILAM dan apa yang pelajar harus tahu sepanjang program ini dilaksanakan.
BPC: Sebelum kita bertanyakan lebih lanjut tentang Program NILAM ini, bolehkah terangkan serba ringkas apakah yang dimaksudkan dengan NILAM?
C L: NILAM bermaksud ‘Nadi Ilmu Amalan Membaca.’ NILAM sebenarnya merupakan penggabungan atau adunan kesemua aktiviti galakan membaca yang pernah dijalankan di sekolah dengan memberi pengiktirafan yang sesuai.
BPC: Sejak bila NILAM ini dijalankan dan apakah matlamatnya?
C L: Program NILAM Tahap Jauhari peringkat kebangsaan bagi Sekolah Menengah bermula pada tahun 1999. manakala bagi Rakan Pembaca pula pada tahun 2002. matlamat Program NILAM ialah supaya terbina tabiat membaca dalam kalangan pelajar.
BPC: Mengapakah baru sekarang Program NILAM ini dilaksanakan di SMK Pusa?
C L: Sebenarnya Program Nilam sudah pun lama dilaksanakan di SMK Pusa. Pelbagai aktiviti galakan membaca telah dijalankan sejak tahun 2005 seperti pertandingan bercerita, pertandingan menghasilkan buku skrap dan sebagainya.
BPC: Apakah kekangan dalam pelaksanaan program ini pada peringkat awal?
C L: Pada peringkat awal, terdapat sedikit masalah yang dihadapi oleh AJK NILAM dalam melaksanakan Program NILAM ini. Para pelajar agak malas dalam mengisi buku rekod bacaan walaupun mereka rajin membaca buku. Keadaan ini menimbulkan masalah dalam bahagian rekod bacaan. Keadaan ini dapat diselesaikan dengan adanya bantuan daripada guru-guru bahasa dan guru-guru tingkatan dalam melakukan pemantauan dan bimbingan.
BPC: Apakah respon pelajar tentang program NILAM?
C L: Pada tahun ini, saya dapati respon pelajar terhadap aktiviti-aktiviti yang dianjurkan agak baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.
BPC: Bagaimanakah tahap amalan membaca pelajar di SMK Pusa?
C L: Tahap membaca dalam kalangan pelajar SMK Pusa agak sederhana.
BPC: Tidakkah terlalu terlambat memupuk amalan membaca dikalangan pelajar sekolah menengah sedangkan sepatutnya amalan ini seharusnya bermula dirumah oleh ibu bapa?
C L: Ya.
BPC: Adakah NILAM ini hanya dihadkan kepada bacaan buku cerita berbentuk novel atau cerpen?
C L: Ya.
BPC: Adakah majalah hiburan, komik dan juga surat khabar termasuk dalam program NILAM?
C L: Tidak.
BPC: Difahamkan Program NILAM ini memberikan ganjaran kepada pelajar yang membaca buku mengikut kreteria yang digariskan, apakah ia disambut baik oleh pelajar?
C L: Tahun ini saya dapati terdapat sambutan yang agak baik daripada para pelajar. Para pelajar telah mula membawa buku rekod nilam semasa sessi program NILAM Tahap Jauhari dijalankan sama ada di perpustakaan atau dewan untuk diisi.
BPC: Apakah persediaan oleh perpustakaan dalam menghadapi program ini?
C L: Pihak perpusatakaan telah menyediakan 100 buah buku iaitu 50 buah buku Bahasa Inggeris dan 50 buah buku Bahasa Melayu sebagai permulaan bagi program ‘Buku Ku Sayang’. Para pelajar yang mengikuti program NILAM di dewan dapat membaca atau mengisi rekod bacaan daripada buku-buku yang telah disediakan oleh perpustakaan ini.
BPC: Bagaimana dengan buku yang disediakan? Adakah mencukupi serta relevan pada masa kini?
C L: Pihak perpustakaan telah memilih buku berdasarkan tahap para pelajar sekolah ini. Untuk maklumana, jumlah buku yang terdapat di perpustakaan ialah 12658 buah buku dan nisbah pelajar per buku ialah 10:1. Rasanya bekalan buku ini mencukupi untuk para pelajar.
BPC: Adakah perpustakaan sekolah turut berkerjasama dengan perpustakaan awam dalam menjayakan program ini?
C L: Belum lagi; satu cadangan yang baik.
BPC: NILAM pada dasarnya merupakan satu program yang memupuk amalan membaca pelajar khasnya, adakah pada pendapat Puan Christine, pelajar memahami matlamat ini atau sebaliknya?
C L: Pelajar sebelum ini telah pun didedahkan tentang projek NILAM. Saya rasa majoriti pelajar memahami matlamat program NILAM ini.
BPC: Selain pelaksanaan yang dijalankan setakat ini, adakah program ini sudah menampakkan hasil jika dilihat dari segi minat pelajar meminjam buku di perpustakaan?
C L: Para pelajar memang ada meminjam buku di perpustakaan semenjak program ini dilaksanakan.
BPC: Apakah perancangan jangka masa pendek dan jangka masa panjang yang telah dan akan dilaksanakan oleh NILAM?
C L: Bagi perangcangan jangka masa pendek ialah supaya lebih banyak lagi bilangan para pelajar yang mendapat pengiktirafan-pengiktirafan seperti gangsa, perak, emas dan NILAM bagi kedua-dua tahap Jauhari dan Rakan Pembaca disamping dapat menyemai tabiat membaca dalam kalangan pelajar. Manakala bagi perangcangan jangka panjang pula supaya SMK Pusa dapat menghasil Tokoh NILAM bagi peringkat kebangsaan.
BPC: Kalau mengikut pemerhatian kami, program ini melibatkan banyak pihak khasnya guru tingkatan dan guru-guru lain, adakah semua pihak memberi kerjasama yang diharapkan oleh NILAM?
C L: Setakat ini semua pihak yang terlibat memberi kerjasama yang baik.
BPC: Jika dilihat dari segi pembangunan sains dan teknologi, setiap sekolah telah disediakan dengan makmal komputer. Ini bermakna semua pelajar akan lebih mengemari internet contohnya, adakah ini akan memberi kesan kepada program NILAM?
C L: Sebenarnya, apabila mereka membuka internet, secara tidak langsung mereka juga melalui proses membaca. Bergantung kepada diri pelajar itu sendiri sama ada mereka ada kesungguhan untuk mengisi buku rekod bacaan NILAM. Saya percaya internet juga mempunyai rencana-rencana, cerita yang menarik sebagai bahan tambahan untuk rekod bacaan mereka.
BPC: Apakah harapan program NILAM terhadap amalan membaca di kalangan pelajar SMK Pusa di masa akan datang?
C L: Tahap amalan membaca dalam kalangan pelajar SMK Pusa masih berada pada tahap yang sederhana dan harus dipertingkatan lagi pada masa akan datang.
BPC: Akhir sekali, apakah nasihat Puan Chistine kepada pelajar SMK Pusa berkenaan program NILAM ini?
C L: Saya berharap para pelajar SMK Pusa menyemai amalan membaca ini dalam diri masing-masing. Kita kena tahu yang kejayaan itu akan dapat dicapai jika rajin membaca. Mencintai buku, mencintai ilmu akhirnya peroleh kejayaan. Ö
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment