JANGAN Klik sini:

Thursday, July 26, 2007

“Bantulah Guru untuk membantu pelajar mencipta kejayaan,” Hasmaniza Binti Muda.




Nama penuh: Hasmaniza Binti Muda.
Asal: Terengganu.
Tarikh lahir: 23hb April 1982.
Umur: 25 Tahun.
Hobi: Membaca.
Universiti: UKM Bangi.
Matapelajaran yang diajar: Science F.1 & Mathematics F.1
Makanan/minuman kegemaran: Nasi ayam dan neslo ais
Tarikh mula berkhidmat di SMK Pusa: 8 hb Jan 2007
Status: Belum berkahwin.
3 perkara menarik tentang Cikgu Hasmaniza:
· Simple person
· Happy go lucky
· Anak tunggal perempuan dari 8 orang adik beradik.


Buletin PC2010! Telah berkesempatan berbual dengan Cikgu Hasmaniza Binti Muda setelah lebih 6 bulan beliau berkhidmat di SMK Pusa.
“Saya rasa takut, gementar dan sedih. Ini adalah kali pertama saya menjejakkan kaki di bumi kenyalang ini. Sebelum saya sampai ke sini, macam-macam cerita tentang negeri Sarawak yang saya dengar. Saya takut masyarakat di sini tidak dapat menerima kehadiran saya. Alhamdulillah, selepas beberapa hari di Pusa ini, saya mula rasa selesa dan bersyukur di tempatkan di sini. Masyarakat di sini peramah dan yang lebih menarik, ramai guru dari semenanjung mengajar dan tinggal di kawasan sekitar Pusa. Saya rasa seperti masih berada di kampung halaman sendiri,” katanya apabila ditanya bagaimana pertama kali menjejak kaki di Daerah Pusa.
Apabila ditanya apakah perkara pertama yang terbayang difikirannya semasa menerima tawaran di SMK Pusa, dia berkata.. “Saya bayangkan Pusa adalah kawasan pendalaman dan kurang kemudahan. Saya agak saya akan menghadapi banyak masalah.”
“Saya rasa kalau dibandingkan dengan kawasan lain, Pusa tidaklah terlalu mundur ataupun serba kekurangan. Saya masih boleh menyesuaikan diri di sini. Lagipun, seperti yang saya katakan sebelum ini, terdapat ramai guru semenanjung yang tinggal di Pusa. Mereka sentiasa membantu saya dalam segenap hal. Saya tidak berasa terasing pun di sini. Teman serumah saya sendiri adalah guru dari Kelantan,” tambahnya lagi setelah mengalaminya sendiri.
Buletin PC2010! cuba bertanya lebih terperinci lagi tentang reaksi ibu bapa nya apabila anak kesayangan mereka terpaksa berjauhan dengan mereka. “Memandangkan saya adalah anak tunggal perempuan dalam keluarga, kedua-dua orang tua saya agak keberatan untuk mengizinkan saya datang ke bumi Sarawak ini. Namun ini adalah pilihan saya. Sebelum memohon untuk mengikuti kursus KPLI, saya sedia maklum risiko untuk ditempatkan di Sabah ataupun Sarawak. Suka atau tidak, saya harus melaksanakan tanggungjawab saya sebagai pendidik.”
Beliau yang sebelum ini menjalani latihan pratikal perguruan selama 3 bulan di SMKA Nurul Ittifaq, Besut, Terengganu sememangnya bercita-cita menjadi seorang guru.
“Namun begitu, saya tidak mengambil pengkhususan pendidikan semasa di Universiti memandangkan saya sedar masalah penggangguran yang dihadapi graduan jurusan pendidikan. Hanya guru-guru lepasan KPLI sahaja yang dijamin posting. Oleh itu, saya mengambil pengkhususan kimia di UKM dan menyambung kursus KPLI sebaik tamat pengajian. Alhamdulillah, selepas tamat kursus KPLI, saya di posting ke SMK Pusa,” ceritannya lagi.
Buletin PC2010! cuba mendengar pandangan beliau tentang budaya pelajar disini. Lalu beliau menyatakan bahawa “Maaf saya katakan, sikap segelintir para pelajar di sini agak mengecewakan. Mungkin bahasa saya ini kasar tapi itu realitinya. Kami para guru di sini cuba memberi yang terbaik tetapi sikap para pelajar agak menghampakan. Saya tidak maksudkan semua pelajar. Pelajar tiada inisiatif sendiri untuk majukan diri.”
Kemudian, apabila ditanya apakah perkara yang paling sukar sekali semasa berkhidmat di SMK Pusa, dia terdiam seketika cuba mengingati sesuatu sebelum menjawab.
“Kalau difikirkan, tidak ada pun perkara yang paling sukar semasa di SMK Pusa ini cuma kadang-kadang masalah dialek Sarawak menjadi sedikit masalah kepada saya. Ada antara para pelajar yang lebih selesa menggunakan bahasa melayu Sarawak dan mereka juga kadang-kadang tidak begitu memahami apa yang saya katakan. Namun semua itu, saya anggap sebagai satu cabaran.”
“Banyak perkara manis sepanjang 6 bulan saya di sini. Ada antara para pelajar saya yang mengajar saya dialek Sarawak, memberi saya mencuba aneka makanan Sarawak dan bermacam lagi. Mereka sebenarnya banyak membantu saya menyesuaikan diri di sini. Salah seorang pelajar saya memberi saya kuih yang dibuat sendiri oleh ibunya untuk saya sempena hari guru. Saya rasa sangat terharu. Banyak lagi sebenarnya perkara menarik disini yang tak mungkin saya temui di Semenanjung. Semua itu adalah pengalaman berharga untuk saya sepanjang bergelar sebagai guru baru.”
“Sebagai seorang guru, saya ingin menasihati para pelajar supaya tidak mensia-siakan peluang yang ada. Mereka sepatutnya sentiasa berusaha memajukan diri. Jangan terlalu mengharapkan guru ‘menyuap’ semua perkara. Guru hanya mampu membantu setakat yang terdaya. Segigih manapun kami para guru berusaha mendidik pelajar, tetapi sekiranya pelajar masih bersikap sambil lewa, kejayaan tidak akan tercapai. Bantulah guru untuk membantu pelajar mencipta kejayaan. Orang lain tidak akan mampu mengubah diri kita, kecuali kita sendiri yang mengubahnya.” Ujarnya lagi.
“Kejayaan tidak akan dapat dicapai tanpa usaha dan keyakinan yang tinggi. Tidak ada jalan mudah untuk berjaya.” Itulah pesanannya kepada semua pelajar SMK Pusa sebelum perbualan berakhir setelah loceng berbunyi kerana beliau ada kelas selepas itu.

No comments: