JANGAN Klik sini:

Thursday, July 26, 2007

“Kenangan terindah yang tak mungkin akan dilupakan,” Mariamah.

Langkawi! Siapa yang tak seronok kalau dapat pergi ke Langkawi, dapat naik kapal terbang pulak tu! Aku tidak dapat menggambarkan keseronokan semasa berada di Langkawi, ia bagaikan sebuah mimpi bagiku. Aku bersyukur,kerana terpilih untuk mengikuti kem Wilderness Advanture yang diadakan di Pulau Tuba Langkawi. Jika aku tidak terpilih untuk mengikuti kem tersebut mungkin aku tidak berpeluang untuk melihat keindahan yang terdapat di Langkawi. Sepanjang mengikuti kem tersebut banyak pengalaman yang aku perolehi bak kata orang ‘jauh perjalanan luas pengalaman.’
Seminggu sebelum pergi ke Langkawi aku, Norlela dan Nadia sibuk mengemas barang-barang keperluan. Kami tidak sabar-sabar lagi hendak pergi Langkawi. Pada malam sebelum pergi ke Langkawi, mata aku sukar lelap kerana aku asyik memikirkan bagaimana keadaan di Langkawi nanti.
Hari yang dinantikan sudah tiba, aku berasa sangat gembira. Kami berangkat dari sekolah pada pukul 7:00 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Kuching pada pukul 12:30 tengah hari. Semasa berada disitu kami sempat mengambil gambar sebagai kenang-kenangan. Selepas kami diarahkan oleh guru pengiring supaya berkumpul bersama-sama dengan pelajar dari sekolah lain. Aku berasa sangat gementar dan malu apabila berhadapan degan mereka. Kami telah diberi taklimat oleh guru pengiring. Kami juga telah diberi sepasang baju dan topi.
Tepat pukul 5:30 petang kami berangkat dari Lapangan Terbang Kuching menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Aku duduk di bahagian paling tengah dalam kapal terbang menyebabkan aku tidak dapat melihat pemandangan di luar. Aku merunggut kerana tidak dapat duduk di bahagian tepi. Namun, kepala tidak henti-henti mendonggak keluar. Penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur mengambil masa selama 1 jam 45 minit. Apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur aku berasa diriku sangat asing, maklumlah baru pertama kali pergi ke Kuala Lumpur.
Dari Kuala Lumpur kami berangkat ke Langkawi dengan menaiki kapal terbang yang lain. Penerbangan ke Langkawi mengambil masa selama 55 minit. Kali ini aku duduk di bahagian tepi bersama dengan Nadia. Aku berasa sangat gembira kerana dapat melihat pemandangan bandaraya Kuala Lumpur yang sangat indah pada malam itu. Kami tiba di Langkawi pada pukul 9:20 malam dan menginap di Langkawi.
Pada pagi itu, kami bangun awal kerana kami akan berangkat dari Langkawi ke Pulau Tuba awal pagi. Kami menaiki feri, sepanjang perjalanan menuju ke Pulau Tuba aku asyik melihat pemandangan laut yang terbentang luas dengan air laut yang kebiru-biruan. Di dalam feri guru pengiring telah mengagihkan kami kepada kumpulan masing-masing.
VEGA adalah nama kumpulanku. Setelah tiba di pulau Tuba kami di arahkan supaya masuk ke kumpulan masing-masing. Aku berasa takut dan kakiku terasa berat untuk melangkah kearah mereka. Semasa kami memperkenalkan diri masing-masing, jantungku berdegup dengan kencang, lidahku kelu seperti orang bisu.
Namun, aku cuba untuk memberanikan diri di hadapan mereka. Setelah berkenalan, secara perlahan aku dapat mengenali mereka. Ternyata mereka tidak seperti yang aku fikirkan, mereka sangat peramah dan baik hati. Kumpulan kami telah dibimbing oleh dua orang trainer iaitu kak Fiza dan Bang Madi serta dua orang guru pengiring iaitu Cikgu Suria dan Cikgu Hakim.
Sebelum kami ke destinasi yang pertama, Bang Madi memberi sedikit taklimat tentang barang-barang yang diperlukan untuk aktiviti yang di jalankan. Selesai memberi taklimat dan pengagihan barang, kami di arahkan supaya bersedia untuk ke destinasi yang pertama iaitu di ladang getah. Apabila sampai disitu kami di arahkan untuk membuat tandas, khemah, dan tempat memasak. Walaupun timbul rasa keletihan dalam diriku, namun perasaan itu aku tidak endahkan. Ketika Mala bertanya kepada Bang Madi tempat mandi, alangkah terkejut kami apabila Bang Madi memberitahu bahawa kami tidak akan mandi sepanjang aktiviti di jalankan. Pada waktu malam kami akan berkumpul dan menceritakan pengalaman masing-masing. Pada waktu pagi pula kami bangun awal menyediakan makanan dan mengemas barang.
Pada pukul 7:00 pagi kami berangkat ke destinasi yang seterusnya iaitu ke sebuah kapal. Sebelum ke kapal tersebut, Bang Madi memberi sedikit taklimat dan jaket keselamatan kepada kami. Semasa berada di kapal kami telah diberi ceramah. Selepas mendengar ceramah, kami di ajar cara-cara memandu kapal. Kemudian kami di arahkan supaya bersedia untuk aktiviti berjalan di atas tali di kapal. Semasa aku berjalan di atas tali mulutku tidak henti-henti menyebut nama Allah. Walaupun aku berasa gayat semasa berjalan di atas tali tetapi ia amat menyeronokan.
Selepas aktiviti di kapal selesai di jalankan kami di bawa pula ke Pulau Tiloi. Sepanjang perjalanan menuju ke Pulau Tiloi aku dapat melihat pemandangan yang sangat indah di sekitar pulau-pulau tersebut dengan air laut yang kebiru-biruan. Kawan-kawanku asyik melayani perasaan masing-masing, mereka kelihatan sangat gembira. Sekarang, kami telah tiba di Pulau Tiloi, disitu aku telah bertemu dengan Norlela. Aku hanya mampu melemparkan senyuman kepadanya kerana aku tidak sempat untuk bercakap dengan dia.
Kami kemudiannya berehat untuk makan tengah hari. Selepas makan, kami pun membuat khemah. Di pulau Tiloi terdapat banyak tikus. Pernah sekali ketika kami sedang sembahyang, Fikah menjerit dia memberitahu bahawa ada tikus yang besar di hadapannya. Kami ketawa melihat tingkah laku Fikah. Selesai sembahyang, kami berkumpul dan menceritakan pengalaman kami semasa berjalan di atas tali . Ketika Bang Madi menyebut nama kayak, kami tidak sabar–sabar lagi hendak berkayak. Pada pagi itu, kami bangun awal untuk menyediakan sarapan pagi dan bekalan untuk di bawa berkayak nanti . Kira-kira jam 8.00 pagi kami mula berkayak , sebelum berkayak kami diajar cara-cara untuk berkayak. Alangkah seronoknya kami apabila dapat mandi di laut. Selepas itu, Bang Madi menyuruh kami masuk ke kayak masing-masing. Sepanjang berkayak, aku tidak banyak bercakap, aku terlalu asyik melihat keindahan laut yang terbentang luas. Aku bagaikan bermimpi berada di tengah–tengah laut. Pulau Tuba menjadi destinasi yang terakhir kami. Disitu kami melakukan aktiviti jungle tracking. Kami terpaksa meredah hutan yang berduri hingga kasut yang aku pakai terkoyak. Kami berasa sangat letih, namun kami bertekad untuk meneruskan perjalanan kami hingga matlamat kami untuk sampai ke puncak Pulau Tuba. Kami akhirnya sampai di puncak Pulau Tuba. Pada malam terakhir, kami tidur lewat kerana mengemas barang dan berlatih untuk persembahan di Pulau Tuba. Kami juga meluahkan perasaan sedih kerana pada pagi esok kami akan berpisah. Itulah pengalaman yang amat indah dalam hidupku.

No comments: