JANGAN Klik sini:

Friday, September 12, 2008

Old newspaper! Surat Khabar lama.. (Kisah seorang pelajar PLKN)

Ketika saya sedang membaca artikel dari arkib Berita Harian Online, salah satu artikel yang menarik perhatian saya adalah mengenai seorang remaja PLKN yang buta huruf yang sudah pandai membaca dan mengira. Bukan itu yang membuatkan saya untuk meletakkan artikel tersebut sebagai istimewa tetapi memandangkan remaja tersebut berasal dari Pusa maka saya rasa perlu untuk semua warga Pusa membacanya juga.

Tidak pula dinyatakan remaja tersebut berasal dari kampung mana, memandangkan Daerah Pusa merupakan daerah yang besar di Bahagian Betong. Nama remaja tersebut Dona bin Denok dan berusia 18 tahun. Menurut artikel tersebut dia tercicir dari persekolahan ketika berumur 8 tahun disebabkan kemiskinan. Apa yang menariknya, remaja ini sudah membuka mata selepas berada di kem PLKN tersebut tentang dunia luar yang lebih luas dihadapannya.
Seandainya Dona tidak tercicir saya rasa Dona sudah pasti bersekolah di SMK Pusa jika dia dan keluarganya masih menetap di sini. Ini adalah kerana hanya terdapat 2 buah sekolah sahaja di Pusa ini iaitu SMK Pusa dan SMK Beladin (Hanya mempunyai Ting.1-3 sahaja).
Pernah beberapa tahun yang lepas saya bersama rakan-rakan yang lain (AJK Biasiswa) melakukan operasi mencari pelajar tercicir di sekitar daerah Pusa ini. Keadaan ini memang terjadi disebabkan dua faktor, iaitu kemiskinan dan faktor pelajar itu sendiri yang tidak mahu bersekolah. Dalam kes Dona, dia tidak dapat bersekolah disebabkan kemiskinan. Akhir-akhir ini, ramai pelajar yang miskin dibantu dengan pemberian Biasiswa kecil atau BKP dan juga KWAMP maka saya kira apa yang penting adalah ibubapa pelajar tersebut tidak seharusnya membuat keputusan supaya anak mereka tidak bersekolah jika faktor kewangan menjadi penghalang kerana seandainya keluarga tersebut benar-benar miskin, pelajar tersebut akan dibantu.

Bagi pelajar SMK Pusa yang masih bersekolah, anda semua sepatutnya melihat Dona dari sudut positif kerana ramai pelajar yang tidak menggunakan sepenuhnya peluang belajar untuk menimba ilmu kerana terlalu leka dan malas. Demi untuk masa depan anda, berubahlah menjadi insan yang berguna.

(Dibawah ini artikel yang dipetik dari Berita Harian Online: http://www.bharian.com.my/ )

Dona belajar membaca, tulis ketika sertai PLKN

KUCHING: Dulu Dona Denok, 18, buta huruf selepas tercicir daripada persekolahan ketika berusia lapan tahun. Kini selepas menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Juara di sini, dia sudah pandai membaca, menulis dan mengira. Kebolehan itu diperolehnya ketika mengikuti program di kem berkenaan selama tiga bulan sejak awal Jun lalu dan berakhir Jumaat lalu.
Justeru, Dona keturunan Melayu anak penoreh getah dari Pusa, Betong, kira-kira 400 kilometer dari ibu negeri ini berazam mengubah kehidupannya dan mencari pekerjaan lebih baik berbanding sebagai buruh kasar di kem pembalakan Sibu dengan berpendapatan RM500 sebulan. "PLKN benar-benar mengubah saya menjadi 'orang baru'. Daripada tidak mengenal huruf, saya sudah boleh membaca, menulis dan mengira. Malah PLKN telah meningkatkan keyakinan diri saya. "Sebaik pulang ke kampung halaman selepas ini saya akan memohon menyertai latihan pertukangan dan insya-Allah akan menjadi tukang kayu terlatih," katanya ketika ditemui Berita Harian selepas majlis penutupan PLKN Siri 3, Kumpulan 5/2008 di kem berkenaan. Dona, anak kelima daripada lapan beradik, nekad meninggalkan pekerjaan lamanya dan mahu memperbaiki kehidupannya kepada yang lebih baik. "Kemiskinan bukan penghalang kepada saya untuk mencapai cita-cita. Alhamdulillah PLKN telah mengubah diri saya sempena Ramadan yang mulia ini," katanya. Dona mengakui tidak pernah mendengar mengenai PLKN ketika menerima surat tawaran tiga bulan lalu, malah menyangka program itu bertujuan menghukum remaja yang enggan bersekolah sepertinya. Bagaimanapun, sangkaannya meleset apabila PLKN berjaya meningkatkan keyakinan diri walaupun pada mulanya berasa rendah diri kerana buta huruf.

No comments: