JANGAN Klik sini:

Tuesday, September 16, 2008

Wake me up when SEPTEMBER end..


Sudah 5 tahun berlalu.. suatu perjalanan yang terasa amat singkat. Pejam celik pejam celik sudah mencecah 5 tahun saya berkhidmat di SMK Pusa. Masih terbayang dengan jelas pada waktu itu keadaan SMK Pusa yang agak jauh berbeza keadaannya berbanding hari ini. Ada juga sesetengahnya langsung tidak berubah, masih seperti dulu.

Kalau bukan disebabkan saya ditempatkan di sini, saya mungkin tidak berpeluang pun untuk mengenali tempat ini serta masyarakatnya walaupun jarak daerah Pusa tidaklah terlalu jauh dari rumah saya cuma 45 minit sahaja! Kiranya saya boleh berulang alik dari rumah untuk datang ke sekolah setiap hari..

Alangkah bagusnya jika pada waktu itu saya telah pun memiliki kamera digital sudah pasti saya boleh merakamkan keadaan itu. Namun, segalanya masih lagi segar dalam ingatan ku. Mana mungkin saya boleh melupai semuanya....
SMK Pusa.

16 September 2003..

Saya akui sedikit gementar. Pelbagai persoalan timbul menghujani benak fikiran membuatkan saya tidak berasa selesa sepanjang perjalanan ke Pusa. (Haha.. jangan marah.. saya ditemani oleh ahli keluarga untuk melapor pada hari pertama ke sini, terasa seolah-olah pertama kali mendaftarkan diri di Universiti!)

Perjalanan terasa amat tidak selesa kerana waktu itu jalan disepanjang Betong-Sarikei sedang dinaik taraf sebagai lebuh raya maka jalannya sangat-sangat teruk, berdebu dan bergegar bagaikan setiap skru yang ada pada kereta ingin tercabut keluar. Tiba-tiba penghawa dingin kereta tidak dapat berfungsi menyebabkan terpaksalah menghirup udara ‘segar’ berdebu..

Sepatutnya kami boleh sampai hanya 45 minit sahaja tetapi disebabkan jalan yang amat-amat teruk menyebabkan perjalanan mengambil masa 1 jam 30 minit. Saya asyik tertanya-tanya bila lagi nak sampai memandangkan sudah terlalu lama berada di dalam kereta namun SMK Pusa belum kelihatan lagi. Keadaan jalan dan pekerja yang membuat jalan disepanjang jalan itu langsung tidak memahami perasaan saya ketika itu, mereka langsung tidak memberi peluang untuk saya menikmati pemandangan yang indah sebaliknya memberikan angin yang penuh debu serta menyaksikan pekerja yang bekerja bagaikan robot tanpa mengira penat.

Lambang daerah Pusa: Ikan Terubuk.

Pelik. Saya bagaikan baru mendarat di sebuah planet lain setibanya di daerah Pusa. Mungkin juga saya yang pelik bukan tempat itu yang pelik.. saya juga kurang pasti. Namun, apabila menjejak kaki di perkarangan sekolah barulah terasa sedikit lega kerana tempat itu tidaklah terlalu asing barangkali hati saya mula menyesuaikan diri. Cantik juga sekolah ni.. detik hati kecilku apabila melihat taman dan bunga-bunga dipersekitaran sekolah.

Saya terus berjumpa dengan pengetua SMK Pusa, Mr. Bong Jin Fu malangnya beliau tidak ada di situ kerana ada urusan di Kuching. Saya diarahkan untuk bertemu dengan PK1 Cikgu Shafiee Ayup namun beliau juga sedang bermesyuarat. Tertanya-tanya juga saya mana pergi guru baru yang melapor pada hari ini. Batang hidung mereka pun tak nampak. Entah berapa lama saya menunggu akhirnya saya berjumpa juga dengan Cikgu Shafiee Ayup. Tak sampai 10 minit urusan pendaftaran saya selesai. Saya diminta mencari sendiri tempat tinggal memandangkan flat guru belum siap lagi dan diminta hadir ke sekolah untuk memulakan tugas keesokkan harinya. Dengar khabar dari Cikgu Shafie Ayup, ada seorang guru wanita (Cikgu Hamidah Masyuri binti Saruji) juga telah mendaftar seawal pagi lagi dan sedang mencari rumah disekitar Pusa.

Kawan baik saya, Puan Hamidah Masyuri Binti Saruji bersama anaknya, Adib.

Panas dan berpeluh. Rumah pun belum ada lagi. Kemana hendak mencari rumah? Disebabkan awal pagi tadi tidak mengambil sarapan akhirnya perut saya memulakan konset rock meminta untuk diisi. Lapar. Kami pergi ke gerai makan untuk makan tengah hari. Walaupun perut saya lapar sangat-sangat namun saya hilang selera. Bukan kerana makanannya tak sedap tetapi urusan rumah belum lagi selesai membuatkan saya kurang berselera.

Selesai sahaja makan tengahari kami bercadang untuk berjumpa dengan seorang kenalan ayah saya yang juga guru SMK Pusa iaitu Hj. Ossen bin Abdul Karim. Beliau seorang guru kadet polis yang aktif dan sering bertemu dengan ayah saya sewaktu aktiviti kadet. Mungkin beliau dapat membantu untuk mendapatkan rumah sewa. Sewaktu kami bertemu dengannya, beliau sedang sibuk membuat kerja dan kami terpaksa menganggu beliau seketika. Beliau mencadangkan saya agar bertanya dengan cikgu Mok Hang Liew yang masih bujang sekiranya beliau perlukan rakan serumah. Saya tak mengenali siapa Mok Hang Liew kerana tidak berkesempatan untuk berjumpa dengan beliau di sekolah. Rumah sewa Cikgu Mok Hang Liew tidak berapa jauh dari rumah kediaman Cikgu Hj. Ossen maka kami hanya berjalan kaki sahaja. Rumah sewa itu adalah sebuah rumah kampung yang sederhana sahaja. Segan juga nak ke rumah cikgu Mok ni lebih-lebih lagi beliau berasal dari KL mesti tidak mahu melayan kerenah saya, fikirku. Tetapi ayah saya memberitahu agar tanya saja kerana saya memang perlukan rumah sendiri agar mudah menjalani hidup sendiri tanpa menyusahkan orang lain.

Cikgu Mok Hang Liew, kawan baik saya yang banyak membantu saya ketika mula-mula sampai di sini.
Ketika kami sampai, Cikgu Mok sedang menikmati makan tengahari. Riak wajahnya sedikit terkejut namun keramahan beliau membuatkan saya lega sedikit. Cikgu Mok Hang Liew bukan saja seorang yang ramah malah beliau seorang yang perihatin, suka berjenaka dan pandai berbual dengan orang yang lebih tua. Dia baru saja menjadi guru di sini setahun yang lepas dan mengajar matapelajaran kimia dan sains.

Menurutnya, dia tidak memerlukan teman serumah memandangkan rumah sewa itu tidak mempunyai bilik yang banyak tetapi beliau tahu ada sebuah rumah sewa yang berdekatan. Tanpa menghabiskan makanan tengahari, dia terus membawa saya berjumpa dengan kawannya Wan, seorang jaga sekolah. Sebelum bertemu dengan Wan saya mengandaikan beliau adalah seorang lelaki tua yang berusia dalam lingkungan 40-an. Jangkaan saya meleset, Wan juga sebaya dengan saya. Seorang yang peramah dan boleh berbahasa Iban. Sudah beristeri dan mempunyai 3 orang anak. Wan membawa saya kepada sebuah keluarga yang memiliki rumah yang agak besar kerana katanya tuan rumah ini mempunyai rumah sewa.

Saya dipertemukan dengan Hj. Mat dan isterinya (allahyarham) serta anak mereka Cikgu Zoriah yang juga mengajar di SMK Pusa. Hj. Mat dan isterinya seorang yang peramah dan tanpa banyak soal beliau setuju untuk menyewakan rumah kepada saya RM250 sebulan. Tanpa banyak kerenah saya terus bersetuju. Lega. Selesai sudah satu urusan.

Tinggal kenangan. Inilah rumah sewa saya dulu ketika mula-mula sampai di Pusa. Saya tinggal di sini kira-kira 9 bulan sebelum berpindah ke flat guru. Rumah ini kemudian di sewa oleh cikgu Chong Yoke Peng.

Rumah sewa tersebut sangat comel. Hanya ada pintu depan sahaja. Terdapat 2 bilik dan satu bilik air. Serba-serbi comel dan rumah itu agak ‘bergoyang’ jika kenderaan berat melintas. Depan rumah saya terdapat surau, kebun limau kasturi milik Hj. Mat dan jiran saya adalah Cikgu Hj. Ossen dan Hj. Mahbar (Tauke besi buruk yang berjaya di Pusa). Rumah tersebut terpaksa meminjam elektrik dari jiran belakang rumah yang saya panggil ‘pakcik’. Setiap bulan saya akan membahagikan sama rata bil tersebut kepada pakcik itu.

Setelah segalanya selesai mengemas barulah ahli keluarga saya yang lain balik. Ini bukanlah kali pertama saya berjauhan dari keluarga, maka mereka tidak terlalu risau tentang diri saya.

Dipendekkan cerita, Cikgu Mok Hang Liew dan Wan telah menjadi kawan baik saya selepas itu. Kami sering kemana-mana dan banyak membuat pelbagai aktiviti bersama. Antara kegemaran yang kami selalu lakukan adalah memancing ikan puyu dan BBQ. Kini, Cikgu Mok sudah pun berpindah ke Kuala Lumpur dan sudah beristeri dengan Cikgu Angelia yang juga kawan baik saya. Mereka baru saja menimang cahayamata perempuan. Wan pula sudah bekerja di kilang kelapa sawit di Saratok.

Gambar Atas: Cikgu Yaslinda bersama anaknya.

Gambar bawah: Cikgu Chong Yoke Peng.

Guru-guru yang sama di’posting’ sama dengan saya adalah cikgu Hamidah (Sudah berpindah ke SMK Semanggang, sudah bersuami dan mempunyai 2 orang cahayamata), Cikgu Sii Bong Hi ( Sudah berpindah ke Johor, hanya berada di SMK Pusa selama 3 bulan sahaja kerana mengikut suami), Cikgu Kho Ah Tau (Masih berada di SMK Pusa dan mempunyai 2 cahayamata), Cikgu Dennis Ladin (Juga masih di SMK Pusa dan mempunyai seorang cahayamata yang comel), Cikgu Suhaila (Sudah berpindah ke semenanjung mengikut suaminya), Cikgu Yaslinda (Sudah berpindah ke SMK Beladin dan mempunyai seorang cahayamata) dan Cikgu Chong Yoke Peng (Sudah berpindah ke Perak).

KINI.. 16 SEPTEMBER 2008 (SELASA).

Saya menarik nafas panjang apabila memikirkan dalam tempoh 5 tahun ini banyak perkara berlaku. Ada yang manis dan ada juga yang pahit. Semuanya digaul sebati lalu menjadi rempah ratus kehidupan. Semua yang berlaku sehingga ke hari ini membuatkan saya memikirkan apakah yang akan berlaku 5 tahun akan datang? Inilah keunikan hidup, kita tidak tahu apa yang akan berlaku kepada diri kita walaupun kita seringkali merancang ke arah yang lurus namun hidup ini tidak selalunya indah. Hari ini kita berjumpa dengan orang baru esoknya mereka akan melangkah pergi dari kehidupan kita.

Hari ini, sekali lagi saya melangkah kaki ke sekolah dengan senyuman.. mengharapkan agar hari ini menjanjikan hari yang terbaik buat diri saya. Berjumpa dengan rakan sekerja dan menghadapi semua pelajar saya yang banyak kerenah..dan akhirnya mengucapkan selamat ulangtahun ke-5 buat diri sendiri..

[Buat seorang kawan saya yang menyambut ulangtahun hari ini.. selamat harijadi, semoga panjang umur dan bahagia selalu..]

No comments: