JANGAN Klik sini:

Saturday, March 31, 2012

Semalam yang Sedih :(

Semalam berlangsung seminar keibubapaan anjuran Bahagian Bimbingan dan kaunseling SMK Pusa yang menjemput Dr. Abang Hud bin Abg. Engkeh (Pensyarah IAB Cawangan Sarawak). Sebelum ini, sudah berkali-kali seminar seumpama ini dianjurkan di SMK Pusa dan saya memang dah menjangka apa yang akan berlaku. Namun, semalam sedikit berbeza.. satu segmen terakhir yang melibatkan pelajar dan ibubapa meninggalkan satu kesan kepada saya.. Jika sebelum ini saya akui boleh menahan perasaan sebak namun saya semalam benar-benar 'mengalah' dengan situasi tersebut sehingga saya hampir tidak dapat menjalankan tugas merakam peristiwa tersebut.

Antara banyak-banyak keluarga yang hadir pada hari tersebut, ada satu keluarga yang mencuri perhatian saya. Ada sesuatu perkara yang membuatkan saya tidak dapat berganjak untuk mengikuti apa yang berlaku seterusnya. Saya tak pernah mengajar pelajar tersebut, malah saya kurang tahu hal mengenai dirinya. Entah mengapa saya dapat rasakan sesuatu 'sedang' berlaku dalam keluarga tersebut. Kehadiran kedua ibubapanya agak lewat berbanding yang lain. Saya boleh rasakan mereka hadir untuk anak mereka.

Apabila Dr. Abg Hud mengarahkan pelajar menulis sesuatu yang mereka tak pernah nyatakan kepada ibu bapa mereka (hasrat mereka) , saya perhatikan ada pelajar yang kurang serius, namun ada yang khyusuk menulis dan apabila Dr. Abg Hud menyuruh mereka memberikan apa yang ditulis kepada ibu bapa mereka, muka mereka mula berubah.. ada yang terkejut dan ada yang tertanya-tanya apa reaksi ibubapa mereka nanti (itu yang saya fikirkan melalui wajah mereka).

Kemudian saya beralih kepada keluarga yang 'menganggu fikiran' saya itu. Anak mereka nampak gembira dan tenang begitu juga kedua ibubapanya. Kemudian dia serahkan 'hasrat' yang ditulis tadi kepada ibunya. Ibunya mengambil dengan kegembiraan terpancar diwajahnya. Bapanya pula masih mendiamkan diri dan duduk membatu, ternyata seminar ini bukan saja hanya mendengar.. mungin itu yang difikirnya. Sedikit kegelisahan di wajahnya. Ibunya diam, membaca satu persatu apa yang tersirat dalam hati anaknya. Keadaan tiba-tiba berubah..

Saya tak mahu ketinggalan untuk merakam detik tersebut, dalam masa yang sama saya tidak mahu mereka menyedari saya merakam 'saat' itu. Seperti yang saya nyatakan awal-awal tadi, ada sesuatu pada keluarga tersebut..

Ketika yang lain masih sibuk menemui ibubapa mereka, mereka bertiga duduk diam membisu. Saya perhatikan sambil tangan saya sibuk merakam video ke arah keluarga yang lain. Ibunya masih tunduk membaca, ayahnya cuba bersikap tenang, anaknya duduk- berfikir. Mungkin juga mereka tidak menyangka keadaan menjadi begitu kekok sekali. Akhirnya, anak tersebut tidak dapat menahan sebaknya, lalu mengalirlah air matanya. Terkejut melihat situasi tersebut, saya alihkan kamera ke arah lain.

Kemudian, keadaan menjadi semakin tegang. Ramai pelajar dan ibu bapa mereka menangis. Kalau sebelum ini saya bersikap neutral dan tidak terganggu dengan keadaan tersebut, kali ini saya sedikit beremosi. Semuanya kerana keluarga tersebut.

Saya alihkan pandangan sekali lagi kearah mereka, anak mereka telah keluar. Ibunya masih tunduk dan menangis. Teringin juga saya ingin tahu apa yang ditulis oleh anaknya. Beberapa minit kemudian, anaknya masuk kembali. Tangisan telah reda cuma matanya sedikit merah. Sedu sedannya masih ada. Keadaan tersebut begitu janggal sekali. Bukan saja pada mereka malah saya turut merasai 'perasaan' mereka. Bekali-kali saya memberi isyarat kepada otak agar jangan terpengaruh dengan keadaan tersebut, namun tak berjaya. Saat saya menunggu apa yang berlaku seterusnya, akhirnya 'saat' itu muncul. Ayah yang cuba bersikap tenang, sebak dan mengalirkan air mata. Mungkin tak pernah terlintas difikirannya dia akan menitiskan air mata atau air mata itu tidak pernah keluar sejak sekian lama, namun semalam keadaan berbeza. Tanpa kata-kata. Tanpa paksaan. Air mata menitis juga, menjauhi ego seorang bapa. Si ibu pula begitu. Tangisan mereka nampak ikhlas. Sehingga saya turut merasainya. Ketiga-tiga mereka menangis.

Saya tidak dapat menahan perasaan lagi. Jika tak keluar dari situ, mungkin juga mereka akan menyedari seorang perakam peristiwa juga 'sebak' (bukan menangis walaupun air mata sedikit keluar). Saya akhirnya keluar dewan, menenangkan diri agar tidak terlalu sensitif. Tetapi keadaan itu berbeza, melihat keikhlasan mereka, saya benar-benar terharu kerana masyarakat Malaysia jarang menunjukkan emosi dan kasih sayang mereka. Ibu bapa tidak boleh kelihatan rapuh dipandangan anak-anak mereka dan anak-anak yang dewasa tidak boleh menangis, seolah-olah taboo.

Saya tidak tahu apa yang berlaku seterusnya. Sedar tak sedar seminar tersebut berakhir, dan saya tahu ada 'sesuatu' yang ibubapa serta anak-anak mereka perolehi pada hari tersebut, seperti mana saya merasai 'sesuatu' pada diri mereka.

p.s: Saya tidak bermaksud untuk mengaibkan atau bercerita sesuatu yang buruk tentang orang lain. Ini sekadar catatan dari pemerhatian saya. Sesungguhnya saya 'mendapat' sesuatu daripada mereka, mungkin dalam erti kata lain, melihat 'sebuah kasih sayang' keluarga yang kembali bersatu. Mungin saya melihat sebuah keinsafan, kemaafan atau juga keikhlasan yang jarang-jarang dikongsikan.

p.s.s: Saya bersyukur kerana mempunyai kedua ibubapa yang begitu memahami. Namun, ada kalanya kita terlalu sibuk dengan perkara lain dan melengah-lengah untuk menunjukkan kasih sayang kita buat mereka. Apa yang saya lihat pada hari tersebut membuatkan saya banyak berfikir tentang mereka.

Note: Terima kasih kerana 'saat' itu muncul dan saya berjaya abadikan biarpun tidak sesempurna mana.

Pernah berasa sebak? Ramai yang kata, mereka sebak dan menangis menonton cerita korea, pernahkah anda berasa sebak dan terharu melihat kisah sedih yang sebenar?

No comments: