JANGAN Klik sini:

Sticky notes:

Ingin mengiklankan perkhidmatan atau promosikan kolej anda di majalah Sekolah Tandang Sari SMK Pusa?

MURAH... BERMULA DARI RM100++

Sekiranya terdapat kolej swasta atau sesiapa sahaja yang ingin mengiklankan iklan anda dalam majalah sekolah Tandang Sari, anda boleh menghubungi saya dengan menghantar email ke
qkx7254@hotmail.com atau SMS: 013-8122471 (Cikgu Terry), saya akan memberikan butiran lengkap cara untuk mengiklankan iklan anda. Jutaan terima kasih saya ucapkan.. :)


Tuesday, April 24, 2007

EN. MAHLI BIN ROSLI: “Semakin dekat kita kepada kejayaan maka kita akan merasakan lebih sukar dan sengsara.”

(Wawancara ini telah dipetik dari Buletin PC2010! Saya berharap bekas pelajar SMK Pusa yang terlepas Buletin tersebut dapat membaca menerusi blog ini.)

Tugasnya sebagai pengetua membuatkan dia sentiasa sibuk dan kadang-kala tidak pernah kenal erti rehat. Orangnya yang tinggi lampai dan sentiasa memberikan senyuman serta ramah membuatkan sesiapa saja akan menyukai beliau. Buletin PC2010! Telah berkesempatan untuk mewawancara beliau bertanyakan tentang masa depan SMK Pusa dan pandangan beliau secara peribadi. Di SMK Pusa, tiada siapa yang tidak mengenali beliau dan tanpa perlu membuang masa kita ikuti wawancara bersama En. Mahli bin Rosli.

BPC: Bilakah tarikh En. Mahli mula berkhidmat di SMK Pusa?
MR:
15 Ogos 2005
BPC: Adakah ini pengalaman pertama menjadi pengetua?
MR:
Ya.
BPC: Sebelum menjadi pengetua, En. Mahli bertugas di mana?
MR:
Saya mula mengajar di SMK Serian pada tahun 1987. Kemudian ditukarkan ke SM Sains pada tahun 1994. Pada ketika itu SM Sains baru dibuka. Kemudian pada tahun 2001 sekali lagi ditukarkan ke Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak sebagai Penolong Pengarah Kanan Sains dan Matematik, Sektor Pengurusan Akademik. Pada tahun 2003, saya melanjutkan pelajaran dalam bidang Diploma Kepengetuaan di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands dan seterusnya ke peringkat Sarjana Kepengetuaan di Universiti Malaya. Selepas tamat pengajian, saya terus ditempatkan sebagai pengetua SMK Pusa.

BPC: Boleh ceritakan serba sedikit tentang latar belakang En. Mahli?
MR:
Saya berasal dari kampung yang berdekatan, iaitu Kampung Serembang, Spaoh. Saya telah dibsearkan dalam suasana kampung yang serba kekurangan dan kesengsaraan. Mungkin jauh lebih susah daripada apa yang dialami oleh anak-anak kampung sekarang.
BPC: Berjauhan daripada keluarga adakah ia menganggu tumpuan untuk mengendalikan sekolah dan juga sebagai ketua keluarga?
MR:
Tidak sama sekali. Itu adalah perkara biasa. Malah lebih mudah untuk bekerja siang dan malam. Lagipun keluarga saya faham bahawa inilah cara untuk mencari rezeki. Semua orang perlu berkorban.
BPC: Apakah yang menjadi kekuatan En. Mahli dalam memikul tanggungjawab sebagai seorang pengetua?
MR: Kekuatan seseorang terletak pada niat, hasrat, tekad dan keyakinan diri yang tinggi. Saya yakin dan berpegang kepada prinsip: Semakin dekat kita kepada kejayaan maka kita akan merasakan lebih sukar dan sengsara.
BPC: Susahkah untuk menjadi En. Mahli? Sebab jika di lihat En. Mahli sangat sempurna dan bijak dalam semua hal.
MR: Tiada apa yang istimewa pada saya. Saya manusia biasa. Segala yang baik adalah datang daripada Allah. Saya masih banyak kelemahan. Cuma apa yang paling berharga dianugerahkan oleh Allah pada saya dan semua orang lain adalah akal yang waras. Sesiapa yang waras dan rajin serta kreatif berfikir akan jadi bijak. Semua kita adalah waras. Jadi, fikirkanlah.
BPC: Dari bulan Ogos 2005 sehingga sekarang, apakah perubahan yang paling besar berlaku di SMK Pusa?Adakah perubahan itu ke arah yang positif atau sebaliknya?
MR: Sejak saya datang ke SMK Pusa, saya sangat sedih melihat keadaan pelajar. Mereka tidak dapat mengawal diri dan tidak tahu hala tuju sebagai seorang yang bersekolah. Mereka kurang yakin dan ramai tak sedar bahawa mereka sebenarnya boleh jadi pandai dan bijak. Itulah perubahan yang saya nak buat dan ia mengatasi segala-galanya. Saya juga nak melihat pelajar-pelajar diberi tempat tidur, makan, mandi dan belajar yang selesa. Saya juga berniat untuk memberi keselesaan kepada guru-guru semampu yang boleh. Alhamdulillah, berkat usaha kita dah nampak sedikit perubahan. Mudah-mudahan usaha ini akan dapat diteruskan hinggalah SMK Pusa Cemerlang pada 2010.
BPC: Boleh terangkan secara ringkas apakah matlamat SMK Pusa selain ingin cemerlang 2010?
MR:
Kita nak jadikan SMK Pusa Perkasa. Maksudnya, ia menjadi tarikan kepada anak-anak di daerah ini atau daerah lain untuk bersekolah di sini.

BPC: Secara amnya, SMK Pusa banyak mengalami perubahan dari bentuk fizikal, bagaimana dengan perubahan sikap warga SMK Pusa khasnya, adakah turut seiring dengan perubahan fizikal?
MR: Alhamdulillah, saya nampak pelajar-pelajar dah mula faham tentang niat dan hasrat kita. Contohnya; mereka tidak lagi merayau-rayau pada waktu maghrib tetapi semuanya ke Surau untuk solat berjemaah. Pelajar yang ponteng dan “escape” hujung minggu sudah jauh berkurang. Mereka juga sudah faham menggunakan waktu belajar, khasnya pada waktu malam tanpa bising sangat. Makin ramai yang suka pergi ke pusat sumber untuk buat rujukan dan sebagainya.

BPC: Semenjak En. Mahli menjadi pengetua disini, apakah perkara yang paling sukar sekali dilaksanakan?
MR: Saya tak menghadapi banyak kesukaran. Saya cuma mengharapkan kerjasama daripada semua guru, kakitangan dan pelajar semua. Lagipun, sukar atau tidak kita tidak ada pilihan. Kita mesti buat sampai berjaya.

BPC: Kalau dilihat secara umumnya, En. Mahli banyak menggunakan pendekatan psikologi iaitu secara lembut apabila berhadapan dengan pelajar yang bermasalah, apakah pendekatan itu berjaya setakat ini?
MR:
Lembut atau kasar cara saya bergantung kepada pelajar sendiri. Saya suka mengingatkan pelajar terlebih dahulu sebelum tindakan dibuat. Kadang-kadang saya bertindak bukan sahaja sebagai pengetua tetapi sebagai orang tua yang perlu mendidik anak-anak. Orang tua mana yang suka melihat anak yang masih sekolah merokok, menghidu gam, minum arak bergaduh dan lain-lain? Kadang-kadang saya terpaksa berkeras dan tegas.
BPC: Dari segi akademik, apakah masalah utama pelajar di SMK Pusa?
MR:
Seperti yang saya kata tadi, pelajar kita boleh jadi pandai seperti orang lain. Cuma apa yang menyedihkan ialah pelajar kurang kesedaran tentang kebolehan mereka. Jika mereka sedar dan mahu berusaha lebih kuat insyallah mereka akan berjaya dengan cemerlang.
BPC: Pada PMR 2006 yang lalu, SMK Pusa dikedudukan nombor 4 di bawah dengan peratusan 45%, turun sebanyak 1% berbanding tahun sebelumnya 46%, apakah strategi yang bakal dilakukan oleh pihak sekolah agar prestasi tahun ini tidak lagi turun?
MR:
Turun naik prestasi adalah perkara biasa. Tak kisahlah kedudukan apa sekalipun. Yang paling penting semua pelajar dapat keputusan yang baik dan dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

BPC: Adakah pelajar PMR tahun ini sendiri faham apakah peranan mereka dalam meningkatkan peratusan PMR?
MR:
Sukar untuk saya jawab soalan ini. Mereka sendiri perlu faham bahawa mereka perlukan keputusan yang baik demi untuk masa depan mereka sendiri.
BPC: Bagaimana target SMK Pusa untuk PMR tahun ini?
MR:
Target kita mestilah 50 % ke atas. Kita tak nak lagi dicop sebagai sekolah berprestasi rendah (SPR). Sampai bila bila kita nak berada dalam kelompok SPR ini?
BPC: Sekolah SMK DPK Kedit berjaya menjadi tempat teratas dalam PMR 2006 dibahagian Betong, apakah yang boleh SMK Pusa contohi dari keadaan ini?
MR:
Mereka berusaha kuat dan mempunyai program yang mantap. Kalau kita tanya pada orang yang berjaya, jawapannya tak lain dan tak bukan ialah rajin berusaha.
BPC: Adakah SMK Pusa berbeza dengan sekolah lain yang terdapat di Bahagian Betong?
MR: Takkan ada bezanya. Daerah Betong ini kecil saja dan semuanya adalah budak kampung. Kalau ada beza pun, mungkin sikap kita yang tak sama. Misalnya, orang mungkin rajin dan kita kurang rajin.

BPC: Pada pendapat En. Mahli, sukarkah SMK Pusa untuk bersaing dengan sekolah yang ada di bahagian Betong?
MR: Tak ada sukarnya. Kita dah buktikan bahawa dalam hal tertentu kita sudah dapat kejayaan. Contohnya: Pasukan sepak takraw, pasukan bola tamper 18TKB dan kita jadi johan pertandingan sepanduk sempena perarakan maulidur-rasul peringkat bahagian Betong. Berita terkini, ialah seorang pelajar kita (satu-satunya dari Betong) telah terpilih untuk mewakili Sarawak dalam Kem Kokurikulum yang akan diadakan di Melaka pada pertengahan bulan April ini.
BPC: Kalau dilihat dalam bidang sukan terutamanya sepak Takraw, sekolah kita merupakan pasukan terkuat dalam Bahagian Betong, adakah pelajar sekolah kita lebih cenderung dalam bidang sukan berbanding akademik?
MR:
Biarlah soalan ini dijawab oleh pelajar sendiri. Saya Cuma percaya bahawa kita boleh maju dalam apa sahaja asalkan kita mahu. Bagi saya sukan tak menghalang kejayaan akademik seseorang. Contohnya: Nichole David, pemain Squash no.1 dunia merupakan pelajar cemerlang dalam SPM (8A). Yang penting pandai urus masa. Masa main kita mainlah tapi dalam kelas kita dengarlah cakap cikgu. Kalau kekuatan ini diseimbangkan SMK Pusa akan cemerlang.
BPC: Bagaimana dengan PIBG SMK Pusa, apakah peranan mereka dalam menjayakan matlamat sekolah?
MR: PIBG SMK Pusa stakat ini telah memberi kerjasama yang sebaik mungkin. Cuma mereka kekurangan dana.
BPC: Bagaimana dengan ibu bapa pelajar, adakah mereka ambil tahu tentang pembelajaran anak-anak mereka?
MR:
Sebahagian daripada ibu bapa memang mengambil berat tentang pelajaran anaknya. Tapi masih ramai yang tak begitu faham tentang kepentingan pelajaran untuk mengubah cara hidup anak di masa depan. Kita tak pasti apa punca sebenarnya. Mungkin disebabkan mereka sendiri tidak mempunyai pengetahuan.

BPC: Tahun lepas telah diadakan 3 majlis dalam 1 acara, Majlis kecemerlangan pelajar, Hari Terbuka dan Ramah-tamah aidilfitri, bagaimana sambutan ibu bapa?
MR:
Sambutan daripada ibu memang baik tapi sambutan daripada bapa masih lagi belum memuaskan. Mungkin ada sebabnya yang mungkin kita tak tahu.

BPC: Adakah terdapat juga ibu bapa yang lepas tangan dalam mendidik anak-anak mereka dengan membiarkan pihak sekolah sahaja mendidik anak-anak mereka?
MR:
Mereka bukan lepas tangan. Cuma mereka tidak mempunyai ilmu keibubapaan dan kesedaran tentang betapa pentingnya pendidikan itu terhadap anak mereka.

BPC: Apakah sekolah ‘impian’ En. Mahli? Boleh terangkan serba ringkas?Bolehkan SMK Pusa menjadi sekolah ‘impian’ seperti mana yang En. Mahli inginkan?
MR: Impian saya adalah sama seperti impian semua guru dan pelajar. Visi SMK Pusa iaitu Pusa Cemerlang 2010 adalah jelas. Itulah impian kita. Boleh atau tak boleh bergantung kepada kesediaan semua pihak seperti guru, kakitangan dan pelajar. Apa yang boleh saya buat jika saya saja ada impian orang lain tidak?

BPC: Pernah sekali En.Mahli memberitahu bahawa dihujung tahun ini, En.Mahli bercadang memohon untuk berpindah, kenapakah bergitu cepat sekali?
MR: Saya ada keluarga yang ditinggalkan. Walaubagaimanapun itu bukan bermakna saya bekerja separuh hati di SMK Pusa. Prinsip saya ialah semakin cepat saya nak berpindah semakin kuat saya bekerja. Hasil kerja itu banyak atau tidak bukan kerana lama atau sekejap tetapi kerana usaha yang gigih. Kalau kita kerja kuat dalam masa yang singkat pun kita dapat hasil yang banyak.

BPC: Tidakkah En. Mahli berasa rugi meninggalkan sekolah ini setelah bersusah payah memberi nafas baru, tidakkah ingin melihat ‘SMK Pusa cemerlang 2010’ hasil titik peluh En.Mahli sebelum ini?
MR:
Kenapa harus kita berfikir begitu. Sekolah ini bukan milik saya tapi milik masyarakat di sini. Mereka berhak mempunyai sekolah yang baik seperti sekolah di Bandar. Kalau boleh tak payahlah orang kampung yang susah dan miskin susah-susah hantar anak ke Bandar. Itu perlukan banyak duit.

BPC: Mungkin ramai yang bersependapat dengan saya jika saya katakan, adalah satu kerugian yang besar kepada pihak sekolah jika En. Mahli meninggalkan sekolah ini, tidakkah En.Mahli cuba menangguhkan hasrat tersebut demi untuk SMK Pusa?
MR: Jangan cakap begitu. Ramai lagi yang lebih baik daripada saya. Malah di sekolah inipun ada ramai yang berpotensi jadi pemimpin (pengetua) di masa akan datang. Cuma jangan lupa, kita perlu belajar dan terus belajar. Banyak ikut fikiran dan jangan turut perasaan. Saya rindukan keluarga saya.

BPC: Apakah pesanan pengetua kepada semua warga SMK Pusa?
MR: Segalanya sudah jelas daripada saya. Saya harap guru-guru dan pelajar-pelajar yang membaca catatan ini faham tentang apa tujuan kita berada di sini. Bukan kerana nama tetapi atas satu perjuangan dan amanah yang dipegang untuk sama memperkasakan SMK Pusa.
SMK PUSA
CEMERLANG 2010.
SELAMAT MAJU JAYA !!!!!!!!!

No comments: