JANGAN Klik sini:

Sticky notes:

Ingin mengiklankan perkhidmatan atau promosikan kolej anda di majalah Sekolah Tandang Sari SMK Pusa?

MURAH... BERMULA DARI RM100++

Sekiranya terdapat kolej swasta atau sesiapa sahaja yang ingin mengiklankan iklan anda dalam majalah sekolah Tandang Sari, anda boleh menghubungi saya dengan menghantar email ke
qkx7254@hotmail.com atau SMS: 013-8122471 (Cikgu Terry), saya akan memberikan butiran lengkap cara untuk mengiklankan iklan anda. Jutaan terima kasih saya ucapkan.. :)


Thursday, July 26, 2007

‘Bertemu bintang Carpella di Pulau Langkawi’, Gerald Grino ak Apil.




Pada bulan Mac yang lalu, saya telah menyertai Wilderness Adventure Program yang telah dianjurkan di Pulau Tuba yang berlangsung selama empat hari tiga malam iaitu 4 hingga 8 Mac oleh Wilderness Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Saya dan empat lagi rakan saya iaitu M.Fadzrul, Chiew SuYang, Nadia, Norlela dan Mariamah telah dipilih guru sebagai wakil sekolah SMK Pusa mengikut kriteria yang diberi dan oleh kerana salah seorang daripada kami tidak dapat pergi, hanya kami berlima sahaja wakil dari SMK Pusa. Kami berangkat dari perkarangan sekolah pada pukul 7 pagi iaitu 3 Mac (khamis) dan terus menuju ke Kuching. Kami tiba di Kuching lebih kurang pada pukul 11 pagi dengan menaiki kenderaan guru pengiring kami iaitu Cikgu Roslan Jabang dan kami telah berjumpa dengan rombongan kami dari Sarawak iaitu seramai 72 orang pelajar dari 12 sekolah menengah Bahagian Betong yang diketuai oleh Cikgu Roslan sebagai ketua kontigen Sarawak. Kami diberi taklimat dan dipesan supaya menjaga tingkah laku semasa di negeri orang serta berhati-hati semasa disana.
Pesawat kami dijadualkan berlepas pada pukul 1.55 tengah hari tetapi telah ditunda selama 3 jam sehingga pukul 4.55 petang. Penerbangan kami dari Kuching ke Kuala Lumpur mengambil masa sejam setengah manakala dari Kuala Lumpur ke Pulau Langkawi mengambil masa 50 minit. Kami tiba di Lapangan Terbang Langkawi pada pukul 8 malam dan kami disambut oleh pemandu arah kami dan menghantar kami ke tempat penginapan kami iaitu Senja Hotel dimana kami berehat setelah seharian perjalanan kami.
Keesokan paginya, iaitu 4 Mac, kami bangun awal dan bertolak ke Jeti Kuala Kuah dimana kami menaiki feri untuk ke Pulau Tuba. Setibanya di Pulau Tuba, kami berkumpul di pusat program dimana kami dapat melihat wakil dari negeri lain seperti Kedah, Terengganu, Pahang, Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Labuan berkumpul mengikut kontigen masing-masing dan kemudiannya dipecahkan kepada 15 kumpulan yang terdiri daripada 22 orang ahli iaitu 2 Trainers, 2 guru pengiring dan 18 orang pelajar yang berasal dari negeri yang berlainan dan terdiri daripada pelbagai kaum. Nama kumpulan kami dipanggil Carpella Sempena dengan nama sebutir bintang. Selepas itu kami diberi taklimat oleh Puan Nora sebagai pengelola program tersebut dan memperkenalkan trainers-trainers yang akan mengiringi kami. Kami kemudiannya diberi perkakas-perkakas dan peralatan yang diperlukan semasa perkhemahan dan kami dihantar ke tapak perkhemahan kami yang pertama. Kami menaiki lori dan ia mengambil masa setengah jam untuk sampai ke tapak perkhemahan tersebut yang dipanggil sebagai The Whishing Well kerana berhampiran dengan itu terdapat sebuah telaga yang berusia agak lama dan mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Kami kemudiannya dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu Leaders group, hygiene group dan cooking group. Kami kemudiannya diarahkan untuk memasang khemah dan menyediakan peralatan dapur serta peralatan yang telah dibekalkan mengikut peranan kumpulan masing-masing. Kami digalakkan berdikari dalam membuat semua kerja tanpa bantuan dari trainers dan digalakkan bertanya jika ada sebarang pertanyaan. Ini bertujuan untuk memupuk perasaan yakin pada diri dan membentuk cara berkomunikasi dengan ahli kumpulan bagi memupuk perpaduan di antara kaum.
Pada sebelah petang pula, kami bertungkus lumus menyediakan makan malam memandangkan ini merupakan malam pertama kami disini dan untuk memastikan semuanya selesai dengan cepat dan tidak berlengah-lengah. Setelah selesai makan malam, kami melakukan sesi suai kenal dihadapan semua orang supaya mereka dapat mengenali diri masing-masing. Kami juga diminta untuk meluahkan isi hati kami dan jangkaan kami sebelum tiba di kem ini. Selepas itu kami melakukan beberapa aktiviti seperti permainan sebelum kami tidur dan kami tidak digalakkan tidur lewat malam supaya kami dapat tenaga yang secukupnya untuk aktiviti keesokkannya.
Keesokkan paginya 5 Mac, kami telah bangun awal untuk menyediakan sarapan pagi dan bekalan tengah hari kerana kami akan berkayak ke campsite yang baru yang terletak di sebuah pulau yang lain. Setelah selesai bersarapan, kami memanaskan badan untuk persediaan untuk berkayak. Kami melakukan beberapa latihan terlebih dahulu sebelum berkayak seperti latihan berenang, isyarat kecemasan dan cara untuk mengawal keadaan ketika kayak terbalik. Setelah dua jam berlatih, kami pun makan tengahari dan berehat sebentar sebelum memulakan perjalanan.
Kami memulakan perjalanan kami ke Pulau Tiloi pada pukul 11 pagi dan cuaca pada masa itu agak panas dan kami terpaksa memulakan perjalanan kami memandangkan ia mengambil 5 jam untuk sampai ke destinasi kami. Kami berkayak secara berpasangan dan terpaksa mengharungi lautan yang luas serta berombak untuk sampai ke pulau yang dituju dan ada juga yang mabuk laut ketika sedang berkayak. Semasa berkayak kami sempat juga menikmati keindahan laut dan pulau-pulau di situ. Kami tiba di Pulau Tiloi pada pukul 4 petang. Setelah berjam-jam mengharungi lautan yang luas dan berombak kami pun sampai di campsite kami yang kedua yang dipanggil The beautiful view kerana ia terletak betul-betul di tepi pantai, kami berehat seketika sebelum memasak makan malam. Kami sempat melihat matahari terbenam dimana ia merupakan permandangan yang indah dan sukar untuk dilupai. Kerana masing-masing telah letih pada masa itu, kami bekerjasama menyediakan masakan malam dan sikap kami yang saling tolong menolong itu dikagumi oleh trainers kami.
Pada malam itu, kami mengadakan star session dimana kami dapat melihat kedudukan bintang dan buruj serta arah kedudukan bintang tersebut. Kami juga dapat melihat bintang kumpulan kami iaitu Carpella dan menceritakan kisah dan sejarah bintang tersebut.
6 Mac, hari selasa, seperti biasa kami bangun pada awal pagi untuk menyediakan sarapan pagi dan bekalan tengah hari kami. Pada pagi ini kami diberitahu bahawa kami akan menaiki kapal kruser dimana kami akan melakukan aktiviti diatas kapal seperti roping. Kami dijemput dengan menaiki bot laju untuk sampai ke kapal kruser tersebut. Setibanya disana, kami dijelaskan tentang beberapa peraturan yang perlu dipatuhi di atas kapal tersebut. Kami diberi taklimat ringkas oleh kapten kapal tersebut dan menjelaskan kemahiran bidang yang perlu dalam pekerjaan maritim. Kami juga diajar tentang selok belok pelayaran kapal dan cara mengendalikan kapal. Kami juga melakukan aktiviti lasak seperti roping dimana ia memerlukan imbangan badan dan kemahiran untuk berkomunikasi dengan ahli kumpulan. Setelah selesai aktiviti di atas kapal,kami dihantar balik ke Pulau Tuba dimana terletaknya campsite kami yang seterusnya iaitu diberi nama De Estate. Bekalan makanan kami pada malam itu sangat istimewa dimana kami disediakan spageti untuk makan malam. Sebelum tidur, kami diberi peluang untuk menceritakan pengalaman kami ketika berkayak dan ada juga mempunyai pengalaman yang melucukan.



7 Mac, Seperti biasa kami bangun awal pagi untuk menyediakan makanan dan bekalan untuk aktiviti kami yang seterusnya iaitu juggle tracking. Di sini kami diajar menggunakan kompas dan cara untuk merujuk peta. Kami meredah hutan yang tebal serta mendaki sebuah gunung yang terletak betul-betul di tengah Pulau Tuba dan merupakankan pengalaman yang hebat bagi saya. Sepanjang perjalanan kami, kami diterangkan tentang tumbuhan-tumbuhan herba yang terdapat di sepanjang perjalanan kami dan itu adalah pertama kali saya dapat melihat pokok Tongkat Ali yang sebenarnya. Setelah 2 jam mengharungi hutan tebal dan mendaki bukit,kami berjaya tiba di puncak bukit, disebabkan permandangan yang indah yang dapat dilihat di puncak bukit tersebut, saya terlupa akan nama bukit tersebut tetapi permandangannya tidak akan saya lupakan. Kami tiba di khemah kami pada pukul 4 petang dan semasa perjalanan pulang kami telah melalui sebuah ladang getah dimana kami dapat melihat penduduk tempatan masih lagi menoreh dan memungut hasil getah untuk dijual. Malam itu merupakan malam terakhir kami dimana kami dapat melihat trainers kami masak makanan yang agak istimewa dimana ia dipanggil ‘Sup Ayam Masak Francis’, dan masakannya sungguh sedap. Pada malam terakhir kami, kami diminta menceritakan pengalaman kami semasa disana. Kami juga diminta membuat sebuah persembahan tentang pengalaman kami untuk dibentangkan pada hari terakhir kami iaitu keesokkan paginya.Tapi sebelum itu kami masih sempat bergembira dengan teka-teki dan lawak jenaka masing-masing.
Hari terakhir kami disini,iaitu 8 Mac, kami mengemas barang-barang kami setelah bersarapan dengan ahli kumpulan untuk kali terakhir sebelum bertolak ke pusat program dimana semua 15 kumpulan berkumpul untuk majlis penutupan. Setibanya kami disana, kami mencuci semua peralatan yang digunakan dan menyerahkannya semula. Setelah kesemua kumpulan berada disitu, kami memulakan persembahan kumpulan masing-masing untuk menunjukkan perasaan masing-masing ketika berada disini samada dalam bentuk nyanyian ataupun lakonan. Selepas persembahan, majlis penyerahan sijil kepada peserta dan guru pengiring diakhiri dengan kata penutup dari Pengelola Program Wilderness iaitu Puan Nora dan persembahan dari trainers-trainers yang turut menyertai program tersebut. Masing-masing berasa sedih kerana terpaksa pulang ke negeri masing-masing dan berpisah dengan rakan-rakan yang berada di situ tatkala menanti feri untuk menjemput kepulangan kami.
Kami tiba di pulau Langkawi pada pukul 12 tengah hari dan kami sempat untuk melawat ke tempat-tempat yang bersejarah seperti Muzium Makam Mahsuri di mana sejarah Pulau Langkawi bermula. Kami juga sempat singgah sebentar di tempat pembuatan minyak gamat dan proses-proses yang dilalui untuk menghasilkan produk tersebut dan kami juga sempat membeli-belah di pusat membeli belah di pulau tersebut. Kami kembali ke tempat penginapan kami untuk berehat sebelum bertolak pulang ke Sarawak pada keesokkan paginya.
9 Mac, kami berangkat ke lapangan terbang Langkawi pada awal pagi untuk penerbangan kami pada pukul 10pagi. Kami tiba di Lapangan Terbang Kuching pada pukul 4 petang setelah berangkat dari Kuala Lumpur pada pukul 2.30 petang. Kami sekali lagi terpaksa berpisah dengan rakan-rakan kami dari Sarawak dan bertolak pulang ke rumah masing-masing. Kami tiba di Pusa pada pukul 10 malam dan masing-masing membawa cerita yang menarik untuk diceritakan kepada ahli keluarga. Bagi saya ia adalah pengalaman yang sukar untuk dilupai dan akan sentiasa diingati sampai bila-bila.

No comments: