JANGAN Klik sini:

Thursday, July 26, 2007

notaEDITOR: PC2010! Keluaran ke-2

Hai.. sudah pasti ramai yang tertanya bila agaknya Buletin PC2010! keluaran yang kedua akan diterbitkan. Malah saya sendiri gementar kerana ia sudah tersasar dari masa yang sepatutnya diterbitkan..dan akhirnya pada hari ini anda sedang membacanya..
Bulan yang lalu kita baru saja menyambut perayaan hari guru. Satu sejarah telah tercipta apabila bahagian Betong telah menjadi tuan rumah untuk sambutan peringkat negeri Sarawak untuk pertama kalinya. Buletin PC2010! tidak ketinggalan dalam merakamkan peristiwa tersebut dan diabadikan di dalam keluaran kali ini.
‘Kita hanya merancang tapi Tuhan yang menentukannya’, itulah hakikatnya apabila banyak artikel yang sepatutnya diterbitkan pada keluaran kali ini terpaksa dibawa ke keluaran seterusnya kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Diharapkan pelajar yang menunggu artikel mereka terpaksalah ‘bersabar’ ya...
Anda semua sudah semestinya tertawan hati melihat kulit hadapan Buletin PC2010! yang berwajah baru. Semua ini adalah hasil kreativiti Cikgu Saini Bakar yang sudi membantu Kelab Penerbitan dalam keluaran yang kedua ini. Sebelum ini beliau pernah terlibat di dalam penghasilan buletin semasa di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai Johor. Buletin PC2010! mengucapkan jutaan terima kasih kepada beliau diatas hasil usaha beliau yang begitu cantik sekali.
Kali ini Buletin PC2010! sungguh bertuah apabila ramai rakan-rakan guru sudi berkongsi idea dalam penghasilan Buletin ini. kami bukan saja menerima artikel berupa ilmiah malah cerpen dan catatan yang boleh dikongsi bersama. Ini amat bererti buat kelab penerbitan di dalam menyalurkan segala maklumat dan berkongsi suka duka bersama. Malah pelajar yang menjadi ‘duta kecil’ sekolah juga turut memeriahkan buletin dengan catatan mereka. Kami pasti ramai pelajar lain yang tidak pernah mendengar pengalaman mereka sebelum ini dan secara esklusifnya kami bawakan khas untuk tatapan anda. Sebenarnya kami cuba untuk ‘memburu’ personaliti sekolah terutama dalam bidang sukan namun atas kesibukan mereka maka kami tidak berpeluang mendapatkan pengalaman mereka untuk dikongsi bersama. Mungkin selepas ini kami dapat berjumpa dengan mereka untuk keluran akan datang.
Sekolah kita juga baru-baru ini kehilangan dua orang guru perempuan setelah mereka berpindah pada 1 Jun baru-baru ini. Kita ucapkan selamat tinggal buat Puan Angelia Tan dan Puan Christine dan semoga mereka sentiasa mengingati kita yang masih di Pusa ini. Namun, kita juga telah menerima dua orang guru baru yang telah berpindah ke sini menggantikan tempat mereka. Selamat datang kami ucapkan kepada Cikgu Abu Talib dan Cikgu Abang Amzah Abg. Tar.
Jangan lupa membaca tentang guru-guru baru kesayangan anda. Saya sungguh berasa gembira dan terharu dengan kesanggupan mereka meluangkan masa untuk membantu Buletin PC2010! memeriahkan keluaran kali ini. Terima kasih kepada Cikgu Hasmaniza, Cikgu Dayang Suhailawati, Cikgu Zuraidah, Cikgu Fairus dan Cikgu Mohd. Norfaizan.
Tahun 2007 merupakan tahun yang sangat istimewa kerana ramai guru SMK Pusa yang menimang cahayamata, jangan lupa membaca tentang ‘Tangisan Pertama’. Lebih ramai lagi guru yang bakal bergelar Ibu dan Bapa tahun ini...
Buletin PC2010! juga telah mengadakan pelbagai pertandingan khas buat para pembaca Buletin PC2010! yang telah mendapat sambutan yang menggalakkan sehinggakan susah untuk mencari pemenang pertandingan tersebut. Jangan lupa untuk melihat dihalaman kedua terakhir..mana tahu anda salah seorang pemenangnya.
Dalam kita mengejar masa dengan kelas setiap hari, tugasan di asrama mahupun dirumah janganlah kita terlupa tanggungjawab kita sebagai pelajar. Bagi yang menduduki PMR dan SPM tahun ini, adakah anda telah bersedia? Sekarang sudahpun bulan Jun, bermakna sudah separuh penggal berlalu.. maka janganlah goyang kaki dan menekan butang handphone setiap hari.. ia sudah semestinya tidak membantu anda sebaliknya anda akan terus terleka.. Lakukan ulangkaji dan jangan segan bertanya kepada guru matapelajaran anda jika kurang faham. Bagi yang tidak menduduki peperiksaan pula bukan bererti anda ‘dibolehkan’ untuk bermain atau ‘honeymoon’.. anda juga harus belajar dan mengulangkaji pelajaran.
Sebelum mengundur diri, saya berharap anda terhibur dengan Buletin PC2010! keluaran kali ini dan sekiranya anda mempunyai idea, bahan dan maklumat yang ingin dikongsi bersama, janganlah segan menghantar kepada Kelab Penerbitan untuk diterbitkan. Anda mungkin tidak menyedari setiap pengalaman anda mungkin memberi sinar harapan kepada insan lain. Akhir kata, semoga setiap pembaca Buletin PC2010! Akan sentiasa memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kerana Buletin ini adalah kepunyaan anda!

Editor,
Cikgu BiO
TERRY BABA

E-mail: qkx7254@hotmail.com
http://smkpusa.blogspot.com/

No comments: