JANGAN Klik sini:

Sticky notes:

Ingin mengiklankan perkhidmatan atau promosikan kolej anda di majalah Sekolah Tandang Sari SMK Pusa?

MURAH... BERMULA DARI RM100++

Sekiranya terdapat kolej swasta atau sesiapa sahaja yang ingin mengiklankan iklan anda dalam majalah sekolah Tandang Sari, anda boleh menghubungi saya dengan menghantar email ke
qkx7254@hotmail.com atau SMS: 013-8122471 (Cikgu Terry), saya akan memberikan butiran lengkap cara untuk mengiklankan iklan anda. Jutaan terima kasih saya ucapkan.. :)


Thursday, July 26, 2007

Syarmina Alias berkongsi suka duka selepas SPM.

2006 merupakan tahun yang agak mencabar dalam hidupku kerana pada tahun tersebutlah aku telah menduduki peperiksaan SPM. Tahun tersebut juga merupakan tahun yang amat bermakna dalam hidup aku kerana pada tahun itu jugalah aku telah mengakhiri kehidupanku sebagai seorang pelajar di SMK Pusa. Disebabkan itulah kita tidak boleh mensia-siakan peluang yang ada selagi kita bergelar sebagai seorang pelajar. Sepanjang menjalani kehidupan sebagai salah seorang daripada pelajar di SMK Pusa, pelbagai cabaran telahku lalui.
Beberapa bulan telah berlalu, saat yang ditunggu telah tiba. Dadaku semakin berombak kencang. 13 Mac merupakan detik yang amat bermakna dalam hidupku. Pada tarikh keramat tersebutlah keputusan SPM yang ku tunggu-tunggu selama ini telah pun di umumkan. Sebelum terbitnya fajar pada keesokan hari terpampangnya keputusan SPM, malamku tidak tenteram kerana hatiku gelisah memikirkan tentang keputusan yang bakal ku perolehi. Ini kerana aku ingin sekali melihat air mata kegirangan mengalir dari kelopak mata kedua-dua orang tuaku.
Tepat jam 7 pagi pada tanggal 13 Mac, aku bergegas bertolak dari rumah walaupun kakiku agak berat untuk melangkah. Bagaimanapun, ku tetap teruskan niat mengikut gerak hati yang bertegas mahukan jasadku sendiri yang menatap keputusan yang telah pun ditampalkan di ruangan notis di sekolahku. Sebaik saja tiba, aku terus meluru menghadap keputusan yang telahpun kini berada dihadapanku. Dadaku berombak kencang, hatiku tersentap. Aku berasa agak kecewa dengan keputusan yang telahku perolehi. Tanpaku sedari, air mata hangat telahpun membasahi wajahku. Walau bagaimanapun, aku turut bersyukur kerana usaha yang telah ku semaikan selama ini turut membuahkan hasil.
4A, 4B dan 1C merupakan angka dan abjad yang telah ku perolehi. Aku telahpun memperolehi A1 dalam matapelajaran BM, PAI dan matematik serta A2 bagi sejarah. Manakala, aku telah memperolehi B4 bagi matapelajaran Biologi, Kimia dan Matematik tambahan serta C5 bagi matapelajaran EST. Aku berasa sedikit kecewa dengan keputusan yang telah ku perolehi dalam subjek sains tersebut. Siapalah diriku yang hendak diberikan gelaran sebagai pelajar dari aliran sains. Hatiku hampa berbaur duka. Oleh hal yang demikian, kepada para pelajar yang bakal menduduki SPM, kamu hendaklah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang kamu cita-citakan. Janganlah hanya bergantung kepada guru semata-mata. Usaha hasil daripada diri sendiri adalah amat penting untuk memperolehi sesuatu kejayaan.
Biologi dan kimia merupakan subjek yang seharusnya aku memperoleh keputusan yang membanggakan kerana aku amat meminati subjek tersebut. Kecuaian telah menyebabkan aku tewas untuk mendapatkan yang terbaik untuk kedua-dua subjek itu. Seharusnya aku tidak cuai semasa menghadapi peperiksaan. Keyakinan diri yang kurang turut menjadi punca kekecewaanku. Oleh hal yang demikian, kita hendaklah mengukuhkan keyakinan dalam diri sebelum menghadapi sebarang peperiksaan disamping penumpuan yang sepenuhnya semasa sesi pembelajaran. Janganlah kita terlalu pasif ketika berada di dalam kelas kerana sikap tersebut boleh menyebabkan kita gagal menghadapi realiti hidup. Beranikanlah diri untuk bertanya kepada guru seandainya kita kurang faham tentang apa yang di sampaikannya.
Kini, aku ingin berkongsi kegembiraan yang telah ku perolehi berkat daripada usaha yang telahku semaikan selama ini. Aku telah mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke kolej Matrikulasi Labuan. Ini merupakan sesuatu yang amat bermakna dalam hidupku. Aku di minta mendaftarkan diri di pusat matrikulasi tepat 14 Mei 2007. Pada masa yang sama, keputusan kursus perguruan yang telah ku pohon sebaik sahaja keputusan SPM di umumkan telahpun di umumkan. Aku turut menerima surat panggilan temu duga bagi kursus tersebut. Tarikh temu duga yang telahpun ku terima jatuh pada 15 Mei 2007. Kini, fikiranku semakin ligat untuk membuat pilihan di antara kedua-dua tawaran tersebut. Hatiku gundah berbaur gembira. Walau bagaimanapun aku haruslah memikirkan secara rasional tentang keputusan yang bakal ku putuskan kerana ia merupakan masa depan yang bakal ku tempuhi.
Kejayaan merupakan suatu yang amat bermakna. Oleh itu, kejarlah ia selagi terdaya. Janganlah mudah berputus-asa. Sebagaimana diriku yang telahpun selesai menduduki SPM yang amat bermakna dalam diari hidup seseorang pelajar. Kedua-dua orang tuaku kini turut serta berasa bersyukur dengan apa yang telah ku perolehi walaupun agak sedikit mengecewakan. Aku juga tidak lupa kepada teman-temanku yang banyak membantu ku dalam pelajaran di samping dorongan daripada guru-guru yang amat membina. Terima kasih yang tidak terhingga ku hulurkan buat warga pendidik di SMK Pusa dan buat rakan-rakan sekalian. Akhir kata, kejarlah ilmu selagi dirimu termampu..good luck for spm..................................

No comments: