JANGAN Klik sini:

Thursday, July 26, 2007

Keajaiban Gerak Tari Zapin membawa Tuah.









Oleh: Suraiti Shukeran.

PUSA, 25 April – Sekolah Menengah Kebangsaan Pusa telah menjadi tuan rumah dalam Majlis ‘Tarian Rampai Kreatif Ala Malaysia’ Peringkat Bahagian Betong. Majlis ini telah diadakan di Dewan Serbaguna SMK Pusa.
Sebanyak 8 buah sekolah menengah di Bahagian Betong telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Antaranya adalah SMK Saratok, SMK Spaoh, SMK Kabong, SMK (BM) Saratok, SMK Kalaka, Roban, SM Teknik Betong, SMK St. Augustine, Betong dan SMK Pusa.
Pertandingan yang bermula jam 7.00 malam dan berakhir sekitar jam 11.00 malam ini telah menyaksikan persembahan yang penuh bertenaga daripada semua sekolah yang menyertainya.
Para hakim jemputan untuk mengadili pertandingan tersebut adalah terdiri daripada KPSU Sri Aman dan seorang wakil daripada PPG Betong. Mereka adalah Cik Sandra Ak Liseh, En. Abg. Ajibi Abg. Moshidi dan En. Linson Ak Apoi yang mewakili KPSU Sri Aman manakala cik Hajah Aiwan @ Noraini binti Alli, Ketua Unit Pengurusan Sekolah PPG Betong.
Pasukan SMK Pusa terdiri daripada En. Rusnizam bin Salleh selaku Pengurus Pasukan, En. Fairus bin Mohd. Kamil, En. Zulkipli bin Jali, En. Saini bin Bakar dan Cik Zuraidah binti Ibrahim selaku jurulatih pasukan.
Penari-penari SMK Pusa pula terdiri daripada Widyawati binti Razali, Dayang Mujammilia binti Abang Julaihi, Nur Atikah bt Affindi, Rohani bt Ramlee, Hasan bin Jemat, Cendra bt Nasir, Jamilah bt Jailani, Mohhamad Shahrizat bin Rasani, Effa Rehah bt Murat, Musira binti Rosli, Hasmah bt Ahmad dan Umi Kalthum bt Yahya.
SMK Saratok yang telah menjadi pasukan kegemaran ramai seperti mana yang diramalkan telah dinobatkan sebagai Johan setelah persembahan mereka pada malam itu menambat hati juri. Kesungguhan dan penat lelah pasukan SMK Pusa akhirnya berbaloi apabila telah mendapat Naib Johan. Ternyata keajaiban gerak tari zapin membawa tuah. Manakala tempat ketiga pula disandang oleh SMK St. Augustine Betong.
Majlis pertandingan tarian telah ditutup secara rasminya oleh Pegawai Pelajaran Gabungan Betong yang mana telah melahirkan rasa bangga dan gembiranya kerana SMK Pusa telah berjaya dalam penganjuran majlis tersebut. Beliau turut memuji hiasan pentas yang cantik serta kesungguhan para peserta yang menunjukkan semangat juang yang tinggi.
Walaupun majlis pada malam itu terganggu sedikit apabila ‘PA System’ meragam, namun ia sedikit pun tidak mencacatkan majlis pada malam itu.
Pasukan SMK Saratok akan mewakili Bahagian Betong ke peringkat Bahagian yang akan berlangsung di Mukah pada 25 Mei ini. Tahniah diucapkan kepada semua yang berjaya dan bagi yang tidak berjaya jangan putus asa.

No comments: