JANGAN Klik sini:

Sticky notes:

Ingin mengiklankan perkhidmatan atau promosikan kolej anda di majalah Sekolah Tandang Sari SMK Pusa?

MURAH... BERMULA DARI RM100++

Sekiranya terdapat kolej swasta atau sesiapa sahaja yang ingin mengiklankan iklan anda dalam majalah sekolah Tandang Sari, anda boleh menghubungi saya dengan menghantar email ke
qkx7254@hotmail.com atau SMS: 013-8122471 (Cikgu Terry), saya akan memberikan butiran lengkap cara untuk mengiklankan iklan anda. Jutaan terima kasih saya ucapkan.. :)


Thursday, July 26, 2007

Nostalgia Terakhir bersama Ibuku.

(Sempena Hari Ibu)
Oleh: Puan Zoriah Hj. Mat.

Hari itu, keluargaku sungguh gembira, kerana sebentar lagi ahli keluarga kami akan bertambah. Bukannya calang-calang orang yang akan menjadi sebahagian dari keluarga tapi dua orang adik yang bekerjaya sebagai seorang doktor. Itulah detik permulaan, keluargaku sibuk mengemas rumah, dari dalam hingga ke luar rumahku. Aku, bapa, suami, anak-anak dan ibuku pun turut serta walaupun sering aku melarang lantaran penglihatannya yang kurang jelas. Ibu mengalami masalah penglihatan sejak tiga tahun yang lalu, doktor mengatakan, ini adalah kesan sampingan daripada penyakit diabesis yang dideritainya beberapa tahun yang lalu namun agak terkawal. Ibu juga sering berulang alik ke Hospital Kuching untuk mendapat rawatan dari pakar mata, dan akhirnya ibu dikehendaki menggunakan kanta lengkap. Walaupun dengan kos yang agak mahal bagi keluargaku, namun demi ibu, kami redha. Bapalah teman ibu siang dan malam, pagi dan petang, dan bapalah suami ibu yang terlalu lurus hati budinya, tetap utuh dan teguh dengan kesabarannya, walaupun sesekali hati bapa terguris jua oleh sikap ibu yang mungkin rimas dengan kesihatannya yang tidak stabil.
Masih segar diingatanku tanggal 11hb Mac ibu baru saja bersamaku menikmati sarapan pagi, ‘cucur pisang tanduk’. Lebih kurang jam 9.00 pagi selepas aku bersama ibu menikmati sarapan pagi, ibu berborak sekejap dengan bapa, aku lantas dengan tugasku menyimpan kain baju yang siap ku lipatkan. Pada masa yang sama mak mentuaku pun ada, menyapu di ruang tamu. Belum sempat aku menghabiskan tugasku, kudengar suara nyaring ibu memanggil namaku.
“Ida, mak jatuh, patah tangan, tolong mak Ida.”
Aku pun bergegas mendapatkan ibuku yang sudahpun berjalan menuju ke arahku dengan tangan kirinya memegang tangan kanannya yang patah. Kulihat tangan ibu memang patah, jelas tangannya menusuk sedikit isi kulit tangannya. Ibu meraung, meratap menangis, kesakitan, seperti anak-anak kecil, ibu mengerang kesakitan.
Aku cuma mampu menenangkan ibu, supaya bertenang walaupun ibu dalam kesakitan. Dalam keadaan yang tergopoh-gapah, bapa, suami dan aku malahan atas permintaan ibuku sendiri untuk membawanya ke Debak berjumpa salah seorang dukun patah yang agak popular di sana. Suamiku serta bapa yang memeluk ibu yang dalam kesakitan pun terus ke Debak. Ya Allah, selamatkanlah ibuku. Jiran tetanggaku pun datang menjenguk dan menghantar ibu.
Lebih kurang selepas waktu zohor, mereka pun sudah kembali dari Debak. Dengan tangan ibu dibalut, tapi ibu tetap mengerang kesakitan. Betapa bodohnya kami semua. Kenapa pada masa itu tak seorang hamba Allah pun menegaskan agar ibuku dibawa ke hospital. Kejamnya kami membiarkan ibu merana kesakitan. Sepanjang hari aku cuba memberi makanan dan minuman buat ibu. Namun sia-sia, ibu seolah-olah tiada berselera langsung untuk makan. Pada masa yang sama juga, anak-anakku diajak oleh ibu mentuaku untuk menziarahi keluarga sebelah suamiku di Miri, sepatutnya mereka pergi hari itu tapi atas permintaanku, di tunda keesokan harinya.
Malam pertama ibu menanggung kesakitannya, anak angkat bapa pun turut datang pada malam itu. Kami sekeluarga sungguh gembira. Kami bercerita tentang keadaan ibu yang patah tangan. Anak angkat bapa menasihat agar dibawa saja ke Hospital. Sekali lagi, kebodohan menular dalam keluargaku. Masih tetap redha, pasti dan yakin, dukun tersebut boleh mengubati ibuku. Semalaman bapaku dan ibuku tak tidur. Ibu sering mengerang kesakitan. Sesekali ku menyengok ibu, memujuk ibu agar makan supaya ibu tidak terlalu lemah.
Keesokan tanggal 12hb Mac, ibu mentua dan anak-anak ku pun bertolak ke Miri. Dengan linangan air mata, aku bersalaman dengan ibu mentuaku dan anak-anak ku. Pesanan dan nasihat tak putus-putus untuk anak-anak ku.
Aku makin sibuk dirumah, begitupun bapa terpaksa meninggalkan ibu sendirian sekali-sekala untuk urusan lain.
Hari demi hari ibu dalam kesakitan, tanpa makan dan minum, 14hb Mac, kunyatakan pada bapa agar ibu dibawa ke klinik berdekatan. Aku dan bapapun ke klinik Pusa. Selepas menghantar bapa dan ibu ke klinik aku pun pulang, sebentar kemudian bapa pulang menyatakan bahawa ibu perlu dihantar ke Hospital Betong dengan seberapa segera. Sementara aku mengemaskan barang bapa, bapa masih menemani ibu. Sebentar kemudian ambulance bergerak laju menghantar ibuku ke Betong. Sampai saja di Betong ibu terus di x-ray dan dirawat.
Bapa menghubungiku melalui telefon, menyatakan bahawa ibu segera dibawa ke kuching. Ya Allah, cubaan apakah ini, serasa langit menghembap ke dadaku, aku dapat merasakan aku mungkin akan kehilangan ibuku. Ibuku yang ku sayang dan ku kasihi. Walaupun sesekali aku menguris hati ibuku, ampunkanlah anakmu ini, ibu. Aku kebuntuan, aku tidak pasti bila ibu telah dihantar ke kuching dan aku tidak pasti bila ibu sampai disana. Kakak mendesak agar aku ke kuching malam itu juga, ibu semakin tenat. Pada malam itu, aku, suami, abang, dan isteri serta anak-anaknya berangkat ke kuching dalam perjalanan dari Spaoh dalam keadaan hujan ribut melanda, angin kencang terasa menusuk ke dalam diriku.
Pada malam itu juga emak saudaraku pun pergi ke kuching. Ada yang menyusul kemudiannya. Lebih kurang jam 2 pagi kami pun sampai di kuching. Aku tidak terus ke Hospital kerana terpaksa menghantar anak-anak ke rumah adikku. Lebih kurang jam 2.30 pagi, aku dan suami pun kesana. Berat rasa langkahku, sejuk, seram, takut berkecamuk dalam jiwaku.
Sampai di katil nombor 10, aku lihat ibu terbujur longlai. Tangan, hidungnya semua di pasang dengan alat untuk menolong ibu bernafas. Bapa duduk di lantai. Aku tak tahan hati, ku berlari mendakap bapa, tidak percaya dengan apa yang ku lihat, ibu sedang tenat, ibu sedang menanti hari-harinya, berbicara dengan malaikat tentang kedudukannya. Ya Allah, selamatkanlah ibuku. Ku peluk, ku cium erat, ku usap wajah ibu yang sayu. Air mata ibu mengalir walaupun tiada suara dari ibu.
Di pendekkan cerita, setelah malam aku berbicara dengan ibu, ibu dibedah sebanyak dua kali, kesakitan ibu tiadaku nampak lagi, bila ku lihat wajah tenang ibu yang redha dengan sakitnya.
Pada tanggal 21 Mac, keluargaku bercadang untuk membawa ibu pulang. Sudah putus segala harapan apabila doktor menyatakan ibu dalam 50/50.
Pada tengah hari itu, bila ibu di arah ke basement menggunakan life support yang ringkas, nafas ibu dah berubah. Ku cium ibu dan ku usap rambutnya. Kunyatakan pada ibu bahawa aku harus segera membawanya pulang. Kulihat di kelompok matanya mengalir air jernih menyentuh hatiku. Ibu pun dibawa ke van yang akan bergerak ke Pusa.
aku harus segera membawanya pulang. Kulihat di kelompok matanya mengalir air jernih menyentuh hatiku. Ibu pun dibawa ke van yang akan bertolak ke Pusa.
Tepat jam 1.18 minit pagi tarikh keramat 21 Mac bersamaan 21 safar, ibu ku pergi menghadap Illahi untuk selama-lamanya.
Kepergian ibu diratapi oleh semua ahli keluargaku. Ibu selamat dikebumikan pada 22 Mac jam 8.00 pagi. Suasana pilu mengiringi pemergian ibu yang takkan kembali lagi. Dan kini, ku dapat rasakan, bertapa sunyinya hati dan perasaanku, sejak orang yang ku panggil ibu telah pergi meninggalkan aku, bapa dan keluargaku. Tak terasa, airmataku mengalir dipipi, mengenangkan kenangan indah bersama ibu, senyum di bibirnya masih segar diingatanku. Haruman kasturi kasih ibu masih hangat ku terasa. Suara ibu memanggil-manggilkan namaku masih ke dengaran di telingaku. Kini aku kehilangan seorang hamba Allah yang sangat ku perlukan. Baru kini ku merasakan, betapa aku kehilangan sayap untuk terbang ke udara. Kehilangan kaki untuk berjalan dan kehilangan mata untuk melihat alam semesta. Kehilangan sebahagian dari nyawa untuk ku bernafas di alam fana. Itulah realiti yang kutanggung kini. Aku bagaikan kapal layar yang kehilangan arah tujuan. Walaupun aku masih ada bapa, namun, realiti kasih dari ibu jua sering kurindu.
Oh ibu…dengarlah rayuan anakmu ini. Walaupun pemergianmu, tanpa sebarang pesan, ku redhakan jua, kerana ini ketentuan yang Esa. Ku lepaskan ibu menghadapMu dengan tenang. Sesungguhnya, ibu sentiasa segar diingatanku sampai bila-bila. Terima kasih untukmu ibu, membesarkan aku dengan kasih sayangmu, tunjuk ajarmu, ku berdoa padamu Ya Allah, ampunilah dosa-dosa ibuku, tempatkanlah ibuku bersama kekasih-kekasihmu Ya Allah. Terimalah amal ibadat ibuku, sedekah jariahnya, dan tenteramkanlah dipersadaMu. Amin….

Nurkilan anakdamu
-Aida-

No comments: